ALOR SETAR – Seorang lelaki maut, manakala isteri dan anak perempuannya cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita hamil di Jalan Tanah Merah, dekat Pendang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Mohd Rosli Yusof berkata, mangsa Muhammad Hafiz Mahyar, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua kaki.
“Kemalangan berlaku pada jam 11.10 pagi ketika wanita berusia 26 tahun yang hamil lapan bulan memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari Pendang ke Kubur Panjang. Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta itu telah bertembung dengan motosikal ditunggang tiga beranak yang sedang bergerak lurus. Akibat pelanggaran itu, semua mangsa tercampak ke jalan raya,” katanya dalam kenyataan senalam.
Beliau berkata, isteri mangsa berusia 31 tahun cedera di kepala dan retak tulang pinggul, manakala anak mereka yang berusia satu tahun lapan bulan retak tempurung kepala serta patah paha kanan dan wanita hamil itu mengalami sakit di bahagian perut.
Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
