KUCHING – Suasana pagi di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman, dekat sini, dikejutkan dengan penemuan dua mayat pasangan suami isteri dalam bilik kediaman mereka hari ini, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Mangsa lelaki dikenal pasti sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (AK) Sbangki, Lubok Antu, manakala isterinya seorang jururawat ditemui anak mereka sebelum polis dimaklumkan mengenai kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima laporan kejadian pada jam 6.55 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 45 dan 44 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang giat mengumpul bukti serta keterangan saksi bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Kalang di talian 019-331 7785, Pusat Kawalan Daerah IPD Sri Aman atau balai polis terdekat.
“Kerjasama orang awam amat penting bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan dan keselamatan komuniti terus terpelihara,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L