Oleh: Jais Abdul Karim
PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan, usaha merombak Pelan Antirasuah di Kementerian Pertahanan (MINDEF) hanya akan bererti jika ia menyentuh akar struktur perolehan yang telah lama membuka ruang kepada konflik kepentingan, proksi dan kartel.
Hakikat tidak boleh dinafikan ialah sebahagian besar ekosistem perolehan pertahanan telah lama dikuasai oleh rangkaian tertutup, termasuk syarikat dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan bekas pegawai tentera.
Amalan “pintu putar” ini menjadikan tender kononnya terbuka sebagai kosmetik, sementara keputusan sebenar ditentukan melalui pengaruh dan hubungan lama.
Sehubungan itu, MCW mengemukakan pendirian tegas berikut:
Pertama, semua projek pertahanan mesti melalui tender terbuka tanpa pengecualian, kecuali dalam keadaan luar biasa yang perlu direkod, diaudit dan dipertanggungjawabkan secara bebas.
Kedua, penilaian tender mesti telus dan terkunci sejak awal, dengan penekanan kepada keupayaan teknologi (contohnya 70 peratus) dan kewangan (30 peratus). Tiada perubahan kriteria dan tiada rundingan di peringkat tender. Rundingan, jika perlu, hanya boleh dibuat selepas pemenang dipilih dan direkodkan sepenuhnya.
Ketiga, penyelenggaraan dan sokongan sepanjang kitaran hayat aset mesti menjadi sebahagian daripada anugerah projek bagi memastikan akauntabiliti pemenang dan menutup ruang manipulasi kontrak susulan, dan
Keempat, tender perlu berteras tempatan. Syarikat asing hanya boleh terlibat melalui perkongsian, dengan kawalan projek dan keupayaan penyelenggaraan berada di tangan syarikat tempatan, termasuk pemindahan teknologi yang boleh diaudit.
MCW mengingatkan, reformasi sebenar akan ditentang kerana ia mengurangkan budi bicara dan kuasa tidak formal. Namun, jika komitmen kerajaan adalah untuk memulihkan kepercayaan awam, reformasi ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan merentas kementerian, termasuk penglibatan Kementerian Kewangan (MOF).
Integriti pertahanan tidak boleh dipulihkan dengan retorik. Ia menuntut keberanian memutuskan rangkaian lama dan membina sistem yang menutup peluang rasuah sejak awal.
Jais Abdul Karim adalah Presiden MCW
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L