KUALA LUMPUR – HELP University mengesahkan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik serta pengurusan bangunan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden letupan yang berlaku ketika kerja penyelenggaraan sistem penyaman udara di kampus universiti itu di Bukit Damansara, pagi semalam.
Dalam satu kenyataan, pihak universiti memaklumkan, bangunan terlibat akan kekal ditutup sementara waktu sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan.
Menurut kenyataan itu, HELP University memandang serius aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta seluruh warga kampus, justeru pemeriksaan dalaman akan dijalankan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan integriti struktur bangunan lain di Kampus Bukit Damansara serta Kampus Subang Bestari.
“Sebagai sebuah institusi yang komited menyediakan persekitaran pembelajaran selamat, kami akan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap kemudahan kampus bagi memastikan tiada risiko keselamatan,” menurut kenyataan berkenaan.
Universiti itu turut memaklumkan, operasi akademik dan kelas di Kampus Subang Bestari akan diteruskan seperti biasa, manakala sebarang perkembangan lanjut berkaitan Kampus Bukit Damansara akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, HELP University turut bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan bagi memastikan semua individu terjejas dalam insiden tersebut menerima rawatan serta bantuan sewajarnya.
Pihak universiti juga berhubung dengan ahli keluarga mangsa bagi memberikan sokongan dan bantuan diperlukan.
Pelajar dan ibu bapa memerlukan maklumat lanjut atau bantuan diminta menghubungi saluran komunikasi dalaman yang telah disediakan oleh pihak universiti.
Menurut kenyataan sama, pelajar dan petugas di kampus terlibat telah dipindahkan dengan segera mengikut prosedur dan protokol keselamatan sejurus insiden berlaku, sebelum pasukan perkhidmatan kecemasan tiba tidak lama selepas menerima makluman.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala sembilan individu lain cedera dalam kejadian letupan gas sistem penyaman udara di sebuah universiti swasta pada jam 11.40 pagi semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai seorang pekerja syarikat kontraktor warga tempatan berusia 24 tahun.
Menurut beliau, letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan sistem penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L