SANDAKAN – Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan, 24 Januari ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, keyakinan itu berdasarkan kempen yang dijalankan BN turut mendapat sokongan daripada parti dalam kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya lihat dari segi persiapan kempen berjalan dengan baik dan kerjasama yang ditunjukkan, hasil daripada pembentukan kerajaan ini telah pun membina satu persefahaman yang baik.
“Hajiji memberikan komitmen besar untuk memastikan kerusi ini dapat terus dipegang oleh calon BN yang bertanding di Parlimen dan juga DUN,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi BN Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.
Pada masa sama, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, legasi pembangunan yang ditinggalkan bekas Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kinabatangan khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan desa akan terus diperjuangkan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember lalu.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai 48,722 pemilih berdaftar merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan adalah pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada 20 Jan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L