Warga emas ditahan disyaki acukan pistol mainan di lebuh raya

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki mengacukan objek menyerupai pistol di Kilometer E37 Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumpur, dalam kejadian yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chan Hook berkata, insiden yang berlaku kira-kira jam 4.13 petang semalam itu dikesan menerusi rakaman video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) membuka tingkap dan menghalakan objek menyerupai pistol.

Menurutnya, suspek berusia 60 tahun ditahan pada jam 7 malam semalam dan mengaku sebagai individu yang memandu SUV serta mengacukan pistol mainan seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila sebuah kenderaan memotong keretanya tanpa memberikan isyarat, sebelum dia memintas semula kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit kemudian membuka cermin dan memarahi suspek, sebelum suspek turut menurunkan tingkap dan menunjukkan objek menyerupai pistol.

Tambahnya, semakan mendapati lelaki berkenaan tidak bekerja dan mempunyai lima rekod jenayah lampau. Polis turut merampas dua pucuk pistol mainan serta sebuah kenderaan SUV milik suspek.

“Permohonan reman akan dibuat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *