23 jam Rolex dirampas dalam siasatan kartel tentera

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset mewah lebih RM2.2 juta, termasuk 23 jam Rolex di sebuah kediaman dipercayai milik isteri seorang bekas pegawai tertinggi tentera darat.

Menurut sumber, jam tangan itu ditemui dalam dua bagasi ketika serbuan ke atas sebuah kediaman di Pantai Timur pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan menemui 23 jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta,” katanya dipetik FMT, dalam kenyataan.

Menurutnya, SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu dipercayai bersubahat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan rampasan itu.

Khamis lalu, bekas panglima tentera darat, Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya direman dua hingga tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan pasukan keselamatan itu.

Semalam, SPRM merampas jongkong dan keping emas, selain pelbagai mata wang asing dalam siasatan kes sama yang keseluruhan barangan disita dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta.

Selasa lalu pula, 17 pengarah syarikat direman kerana disyaki terbabit rangkaian kartel tender perolehan tentera darat.

Agensi antirasuah itu sedang menyiasat pemilik 26 syarikat dikatakan telah diberikan kontrak oleh pihak tentera. Mereka antara kira-kira 40 syarikat dalam radar SPRM, dengan beberapa syarikat itu berulang kali memperoleh kontrak ketenteraan bernilai tinggi sejak 2023, menurut sumber.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *