Sultan Selangor Dukacita, Tidak Setuju Penternakan Babi Berskala Besar di Kuala Langat

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju keputusan kerajaan negeri itu membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada tahun 2030 di atas tanah seluas 202 hektar.

Baginda memandang serius keputusan itu, khususnya apabila terdapat kemungkinan perancangan itu melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Menurut baginda, secara prinsipnya baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.

Namun, perancangan berskala besar disifatkan sebagai tidak wajar, tidak sensitif serta tidak seimbang dengan realiti demografi dan keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah orang Melayu Islam.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu, selain masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak tahun 2010.

“Penduduk setempat telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk pencemaran bau yang berlarutan, pencemaran air sungai serta masalah lalat yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam, titah baginda.

Dalam kenyataan itu, baginda berkenan memetik Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’aam ayat 145 yang menyatakan, daging babi adalah kotor atau najis.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan, kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia, di kawasan Kuala Langat dan baginda sendiri telah merasai serta menyaksikan kesan pencemaran bau akibat aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.

Justeru, baginda menegaskan adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad itu dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar.

Sehubungan itu, baginda mengusulkan agar wakil-wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat bagi merasai sendiri pengalaman sebenar ditanggung oleh penduduk setempat.

Baginda juga tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.

Pada masa sama, baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar itu melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, selain menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan.

Baginda turut mengimbas kembali inisiatif kerajaan negeri sebelum ini yang pernah menghantar wakil ke luar negara bagi mendapatkan maklumat mengenai penternakan babi moden, namun kos pemodenan yang tinggi didakwa tidak mampu ditanggung oleh pengusaha ternakan.

Oleh itu, baginda mempersoalkan sama ada cadangan terbaharu ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sedangkan peruntukan tersebut lebih wajar disalurkan kepada pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.

“Walaupun begitu, beta tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran perlu dilakukan secara teliti dan rasional sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat. Pembangunan ekonomi, tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

“Kerajaan negeri perlu bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” titah baginda.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *