Amazfit Active Max tawar bateri tahan 25 hari, binaan lasak untuk atlet ekstrem

KUALA LUMPUR – Amazfit, jenama boleh pakai pintar global terkemuka di bawah Zepp Health mengumumkan pelancaran ahli terbaharu keluarganya, Amazfit Active Max yang direka khusus untuk ketahanan bateri luar biasa dan prestasi aktiviti lasak.

Peranti pintar ini tampil dengan keupayaan jangka hayat bateri sehingga 25 hari dalam satu reka bentuk yang ringan, menjadikannya pilihan ideal untuk penjejakan aktiviti sepanjang hari serta latihan jarak jauh seperti maraton.

Dibina untuk atlet harian yang mahukan prestasi maksimum, jam tangan pintar itu dilengkapi paparan AMOLED 1.5 inci yang ultra terang dengan kecerahan puncak sehingga 3,000 nit bagi memastikan paparan kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari terik.

Ketahanan peranti berkenaan diperkukuh dengan ciri rintangan air 5 ATM, membolehkan pengguna melakukan pelbagai aktiviti luar dan sesi latihan kekuatan tanpa perlu bimbang mengenai kerosakan akibat peluh atau air.

Menurut kenyataan Amazfit, model baharu ini turut memperkenalkan ciri skor tenaga BioCharge yang melaras secara dinamik berdasarkan tahap aktiviti, tekanan dan tidur pengguna untuk memberi panduan sama ada perlu meningkatkan latihan atau berehat.

Bagi menyokong rutin kecergasan, peranti ini menawarkan lebih 170 mod sukan dengan panduan Zepp Coach berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang mampu menyesuaikan diri dengan gaya latihan pilihan pengguna.

Aspek pemantauan kesihatan turut diberi keutamaan menerusi sensor biometrik BioTracker PPG yang memantau kadar denyutan jantung, oksigen dalam darah dan tahap tekanan secara 24 jam sehari.

Selain itu, jam tangan itu mempunyai storan terbina dalam 4GB yang membolehkan main balik podcast sehingga 100 jam tanpa telefon, serta menyokong muat turun peta percuma untuk kegunaan navigasi di lebih 2,000 pusat peranginan ski.

Bagi membuktikan ketahanannya dalam dunia sebenar, atlet sukan lasak negara dan pemenang pingat Sukan SEA, Mohd Saddam Mohd Pittli ditampilkan sebagai ikon yang menggunakan peranti itu untuk latihan ekstrem seperti Hyrox dan Spartan Race.

Selaras dengan pelancaran ini, Amazfit Malaysia juga bakal memperkenalkan Kelab Komuniti Amazfit MY pada tahun 2026 yang bertujuan merapatkan jurang antara teknologi dan latihan praktikal menerusi program larian serta latihan kekuatan.

Orang ramai boleh mendapatkan Amazfit Active Max bermula 10 Januari 2026 dengan harga promosi RM699 menerusi laman web rasmi serta platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *