AGADIR, Maghribi – Kapten Mohamed Salah menjaringkan gol pada minit ke-124 untuk memastikan kemenangan 3-1 selepas masa tambahan buat Mesir ke atas pasukan kerdil Benin pada aksi pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang mendebarkan, awal pagi tadi.
Marwan Attia meletakkan The Pharaohs di depan pada babak kedua sebelum Jodel Dossou menyamakan kedudukan buat Cheetahs, yang berada 58 anak tangga di belakang Mesir dalam ranking dunia.
Yasser Ibrahim kembali menyaksikan Mesir mendahului pada separuh masa pertama masa tambahan, sebelum Salah lolos bersendirian dan menewaskan penjaga gol Marcel Dandjinou dengan rembatan dari luar kotak penalti untuk gol ke-10 dalam AFCON.
Salah, yang jaringannya membantu Liverpool memenangi banyak trofi, masih memburu pingat juara AFCON pertamanya selepas dua kali muncul naib juara.
Juara AFCON tujuh kali itu kekal di Agadir untuk bertemu juara bertahan Ivory Coast atau Burkina Faso pada perlawanan suku akhir Sabtu ini.
“Sebelum perlawanan, saya sudah katakan tiada pasukan mudah dan Benin nyata lawan yang sukar. Mesir adalah pasukan hebat dan saya mahu membahagiakan rakyat negara saya,” kata jurulatih Hossam Hassan.
“Kami sedih dengan kecederaan Mohamed Hamdy yang nampak serius. Rakan sepasukan bermain untuknya. Dari segi mental, kami bersedia bermain sama ada 90 minit atau masa tambahan.”
Jurulatih Benin, Gernot Rohr berkata: “Apa yang anda saksikan adalah perlawanan penuh pertarungan, benar-benar satu pertempuran, namun masih bermain bola sepak. Dua pasukan bertarung sengit.
“Jika melihat pemain Mesir, kami tidak berada pada tahap yang sama. Kami kehilangan penyerang utama Steve Mounie. Dia pasti banyak membantu, terutama dalam perebutan bola udara.”
Mesir membuat 10 perubahan daripada pasukan yang seri dengan Angola pada aksi terakhir peringkat kumpulan tujuh hari lalu, dengan hanya pemain tengah Ibrahim Adel dikekalkan. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L