Dari Meja Editorial ND
PARTI Bersama Malaysia (Bersama) mungkin masih terlalu muda jika diukur berdasarkan tempoh penubuhannya, tetapi dalam politik pilihan raya, usia sesebuah parti bukanlah satu-satunya ukuran untuk menentukan sejauh mana ia mampu diterima rakyat.
Kehadiran penyokong yang ramai ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti dipaparkan menerusi gambar dan video yang tular, memberikan gambaran Bersama mempunyai keupayaan menggerakkan sokongan di lapangan.
Namun, persoalan lebih besar sejauh mana kemeriahan itu mencerminkan kekuatan sebenar parti berkenaan di mata pengundi. Sesuatu yang perlu dibezakan dalam politik ialah antara kemampuan mengumpulkan penyokong dengan keupayaan memperoleh undi. Kedua-duanya tidak semestinya bergerak seiring.
Bersama kini berdepan ujian tidak kecil selepas penampilan sulungnya dalam PRN Johor berakhir dengan keputusan mengecewakan apabila semua 15 calonnya kehilangan wang pertaruhan.
Keputusan itu bukan sekadar kegagalan memenangi kerusi, malah memperlihatkan betapa sukarnya sebuah parti baharu menembusi benteng sokongan parti yang sudah lama bertapak.
Di Johor, Bersama hanya memperoleh purata antara tiga hingga enam peratus undi di kawasan ditandinginya, jauh di bawah paras 12.5 peratus yang diperlukan untuk mengekalkan wang pertaruhan.
Parti itu kemudian memilih untuk tidak bertanding dalam PRN Negeri Sembilan bagi menumpukan persiapan menghadapi pilihan raya di Melaka. Justeru, Melaka menjadi medan kedua bagi Bersama menguji penerimaan pengundi selepas pengalaman pertamanya di Johor.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Persoalannya, apakah Bersama mampu membuktikan keputusan di Johor hanyalah permulaan yang kurang memberangsangkan atau parti itu masih berdepan masalah asas dalam membina kekuatan politik?
Alasan Bersama baru berusia lima bulan mungkin boleh menjelaskan sebahagian kekangan yang dihadapinya. Bagaimanapun, sejarah politik negara menunjukkan usia sesebuah parti tidak semestinya menjadi penghalang untuk memperoleh sokongan besar, malah membentuk kerajaan.
Parti Bersatu Sabah (PBS) misalnya, ditubuhkan pada 1985 di bawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Dalam pilihan raya negeri pada tahun sama, PBS berjaya menewaskan kerajaan sedia ada dan mengambil alih pentadbiran Sabah.
Kejayaan itu bukan semata-mata kerana PBS sebuah parti baharu yang membawa wajah kepimpinan berbeza. Parti berkenaan mempunyai asas sokongan masyarakat, jaringan politik tempatan dan isu perjuangan yang berjaya diterjemahkan kepada sentimen pengundi.
Begitu juga Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) yang ditubuhkan pada 15 Julai 1975. Kurang setahun kemudian, parti pimpinan Tun Fuad Stephens dan Harris Salleh itu berjaya memenangi 28 daripada 48 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah 1976.
Kemenangan tersebut membolehkan BERJAYA menamatkan pemerintahan USNO yang dipimpin Tun Mustapha Harun. Pengalaman BERJAYA memperlihatkan bagaimana sebuah parti masih muda mampu mencipta perubahan besar apabila mempunyai kepimpinan, rangkaian sokongan dan isu politik yang mendapat sambutan masyarakat.
Dalam perkembangan lebih kemudian, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diasaskan pada 2016 di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut memperlihatkan bagaimana parti baharu boleh berkembang dengan pantas.
Warisan muncul sebagai antara kuasa utama politik Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Melalui kerjasama dengan parti lain, Warisan membentuk kerajaan negeri dan Shafie dilantik sebagai Ketua Menteri.
Walaupun kemenangan itu berlaku dalam konteks pilihan raya umum dan pembentukan kerajaan melalui kerjasama politik, pencapaian Warisan tetap menunjukkan parti baharu boleh memperoleh tempat dalam landskap politik apabila berjaya menggabungkan kepimpinan, sokongan tempatan dan tawaran politik yang meyakinkan.
Contoh BERJASA di Kelantan pada 1978 juga menarik untuk diteliti. Parti itu memenangi 11 daripada 25 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri berkenaan. Bagaimanapun, kerajaan negeri dibentuk oleh Barisan Nasional yang memenangi 23 daripada 36 kerusi.
Pencapaian BERJASA ketika itu menunjukkan parti yang relatif muda juga mampu memperoleh pengaruh pilihan raya tanpa semestinya menjadi parti yang membentuk kerajaan.
Semua contoh ini membawa satu pengajaran: usia parti bukan faktor tunggal. Latar belakang penubuhan, kekuatan organisasi, jaringan masyarakat, kepimpinan dan keadaan politik semasa turut menentukan penerimaan pengundi.
Di sinilah letaknya persoalan utama yang perlu dijawab Bersama.
Parti itu mempunyai beberapa tokoh yang dikenali dalam politik nasional, khususnya Rafizi Ramli, bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Ekonomi.
Nama Rafizi bukan asing kepada masyarakat. Beliau pernah membina reputasi melalui pendedahan isu berkepentingan awam, pendekatan politik berasaskan data dan keberaniannya mengkritik pihak yang berkuasa.
Namun, populariti seseorang tokoh tidak semestinya boleh dipindahkan secara automatik kepada parti yang dipimpinnya.
Pengundi mungkin mengenali Rafizi, tetapi belum tentu mereka memahami Bersama. Mereka mungkin tertarik dengan kenyataan dan pendekatan politiknya, tetapi belum tentu bersedia memberikan undi kepada calon yang menggunakan lambang parti itu.
Dalam politik pilihan raya, pengundi bukan sekadar memilih pemimpin yang mereka kenali. Mereka turut menilai calon, rekod perkhidmatan, keupayaan menyelesaikan masalah setempat dan kemampuan parti membawa perubahan kepada kehidupan mereka.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
