Amorim sah pengurus terburuk United era EPL

LONDON – Ruben Amorim kini sah tercatat sebagai pengurus paling buruk Manchester United dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jurulatih dari Portugal itu dipecat pengurusan Old Trafford selepas kenyataan kontroversinya kelmarin.

Amorim, 40, mendakwa beliau dilayan seperti “ketua jurulatih” dan bukannya pengurus sepenuhnya – peranan yang beliau percaya sepatutnya digalas.

Beliau juga meluahkan kritikan tersirat terhadap pengarah bola sepak Jason Wilcox, selepas gagal mendapatkan pemain sayap Bournemouth, Antoine Semenyo selain beberapa ketegangan dalaman lain, sementara kelab tidak berpuas hati dengan kritikannya terhadap pemain.

Susulan itu, Amorim muncul pengurus ketujuh dipecat sejak Alex Ferguson bersara dan pengurus kelapan yang memimpin United sejak musim sulung EPL pada 1992-93.

Dalam 47 perlawanan liga, beliau hanya memenangi 15 perlawanan, menghasilkan peratusan kemenangan serendah 31.9 peratus. United tewas lebih banyak daripada menang, iaitu 19 kali sepanjang kendaliannya.

Salah satu kekalahan yang menonjol adalah tewas kepada Tottenham Hotspur pada final Liga Europa musim lalu, yang menafikan peluang kelab beraksi dalam Liga Juara-Juara musim ini berserta pendapatan besar yang menyusulinya.

Rekod ini adalah yang terburuk dalam kalangan semua pengurus United era EPL. Ia lebih teruk berbanding Ralf Rangnick yang memenangi 10 daripada 24 perlawanan.

Pengurus terdahulu, Erik ten Hag memenangi lebih separuh daripada 85 perlawanan meskipun menerima kritikan hebat.

Sejak Ferguson bersara pada 2013, tiada pengurus lain mampu menandingi peratusan kemenangan 65.2 peratus dipegang beliau.

Jose Mourinho merupakan jurulatih paling produktif selepas Ferguson dengan 53.8 peratus kemenangan daripada 93 perlawanan.

Amorim turut menjadi pengurus ketiga sejak Ferguson gagal mencapai 50 perlawanan, bersama Rangnick dan David Moyes.

Dalam semua pertandingan, Amorim memenangi 24 daripada 63 perlawanan, menjadikan peratusan kemenangan keseluruhan beliau 38.1 peratus. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *