MELAKA – Landskap politik Melaka menyaksikan perkembangan baharu apabila seramai 56 individu, termasuk beberapa tokoh berpengalaman dalam arena politik dan media, secara rasmi menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Pas Melaka pada Rabu.
Antara yang mencuri tumpuan ialah bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Dahlan Maamor, serta bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Penyertaan mereka dilihat sebagai satu suntikan signifikan kepada gerak kerja Pas di peringkat negeri.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, penyerahan borang keahlian itu berlangsung sempena Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Menurutnya, majlis berkenaan berlangsung dalam suasana penuh semangat kebersamaan dan muafakat, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak untuk memperkukuh kerjasama politik dan khidmat kepada rakyat.
“Majlis ini menggambarkan kesediaan semua pihak untuk berganding bahu dalam memperjuangkan agenda perpaduan dan kebajikan rakyat di Melaka. Penyertaan ahli-ahli baharu ini amat dialu-alukan dan diyakini dapat memperkasa perjuangan Pas di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Majlis itu turut diserikan kehadiran beberapa pemimpin utama, antaranya Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Perhubungan Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; serta Pengerusi MN Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub.
Zulkifli turut memaklumkan, Pas Melaka menyambut baik penyertaan Khairuddin dan Dahlan, yang masing-masing mempunyai latar belakang luas dalam politik, selain Dahlan turut dikenali sebagai bekas pengulas sukan dan wartawan TV3.
Pengalaman mereka, katanya, dijangka dapat menyumbang kepada pengukuhan strategi parti serta pendekatan lebih berkesan dalam mendekati masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan harapan agar penubuhan Pusat Khidmat MN dapat berfungsi sebagai platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menjadi medium memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
“Langkah ini diharap dapat memperkasa agenda MN sebagai satu usaha bersama demi kesejahteraan ummah dan kemakmuran negeri Melaka secara keseluruhan,” ujarnya.
Untuk rekod, MN berdaftar sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukannya parti politik. Keahliannya merangkumi pelbagai kumpulan, termasuk ahli politik dari parti berbeza serta golongan profesional. Walaupun majoriti ahlinya orang Melayu, penyertaan turut melibatkan kaum bukan Melayu.
Penubuhan MN bertujuan menyediakan perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan parti politik atau kaum, sejajar dengan aspirasi untuk membina masyarakat yang lebih bersatu dan sejahtera.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
