Program taklimat kewarganegaraan: DAP kena beri penjelasan terperinci - Ketua Penerangan PAS

Pas Sangkal Tuduhan ‘Poligami Politik’, Tegaskan Rekod Sejarah Pakatan Diseleweng

SHAH ALAM – Pas menolak dakwaan parti itu sukar bekerjasama dalam gabungan politik serta gemar membentuk pakatan yang tidak bertahan lama, sebaliknya menegaskan tuduhan tersebut bersifat dangkal, berprasangka dan bercanggah dengan fakta sejarah politik negara.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub dalam program Wacana Sinar bertajuk “Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN” baru-baru ini gagal meletakkan peristiwa sejarah dalam konteks sebenar, selain mengalihkan kesalahan perpecahan pakatan kepada Pas secara tidak adil.

Menurut beliau, dakwaan Pas “sukar bekerjasama dalam gabungan” dan “berpoligami politik” bukan sahaja bercanggah dengan realiti sejarah, malah bertentangan dengan dapatan akademik Dr. Mohammad Tawfik sendiri menerusi tesis PhD beliau bertajuk “Kerjasama Politik Melayu-Islam: Analisis Hubungan UMNO–PAS dari Tahun 1968 hingga 1978” yang diterbitkan pada 2018.

“Lebih membimbangkan, analisis yang dibuat memisahkan peristiwa perpecahan politik daripada punca sebenar, lalu menjadikan Pas sebagai kambing hitam terhadap kegagalan kolektif rakan gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas sejarah penyertaan Pas dalam Barisan Nasional (BN), Ahmad Fadhli menjelaskan, parti itu tidak pernah keluar daripada gabungan berkenaan, sebaliknya disingkirkan oleh UMNO susulan krisis politik Kelantan pada 1977.

Beliau berkata, berdasarkan rekod rasmi termasuk tesis Dr. Mohammad Tawfik sendiri, krisis itu tercetus akibat usaha menyingkirkan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamad Nasir serta pengisytiharan Darurat Kelantan oleh kerajaan Persekutuan.

“Tindakan Pas menentang darurat itulah yang membawa kepada penyingkirannya daripada BN. Ini jelas menunjukkan Pas disingkir kerana mempertahankan prinsip dan mandat rakyat, bukan kerana gagal bekerjasama,” ujarnya.

Dalam konteks Barisan Alternatif (BA), Ahmad Fadhli menegaskan, Pas kekal bersama pakatan tersebut sehingga ke akhirnya, manakala DAP mengambil keputusan menarik diri secara unilateral pada 22 September 2001.

Beliau berkata, keputusan DAP itu dibuat selepas gagal mempengaruhi Pas agar menggugurkan prinsip perjuangan berkaitan Islam, termasuk isu negara Islam.

“Jika Pas benar-benar tidak setia kepada pakatan, Pas sepatutnya keluar terlebih dahulu. Hakikatnya, Pas kekal dan DAP yang meninggalkan BA,” katanya.

Mengulas perpecahan dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), beliau menjelaskan hubungan Pas dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) berakhir hanya selepas berlaku pelanggaran serius terhadap syarat tahaluf oleh parti itu.

Antara tindakan didakwa mencetuskan krisis termasuk pendedahan rahsia kerajaan negeri Kelantan, serangan terbuka terhadap kepimpinan Pas, sokongan kepada calon BN dalam pilihan raya kecil serta pengumuman pemimpin PMS46 untuk kembali menyertai UMNO.

“Pas hanya memutuskan hubungan selepas semua pelanggaran ini berlaku, dan keputusan dibuat melalui saluran institusi parti yang sah. Ini bukan pengkhianatan terhadap pakatan, tetapi usaha mempertahankan integriti,” katanya.

Ahmad Fadhli turut menafikan dakwaan Pas menjadi punca keruntuhan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya merujuk kepada pengakuan terbuka pimpinan DAP sendiri yang menyatakan parti itu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengannya.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng, mengesahkan DAP memilih untuk berpisah atas alasan prinsip, sekali gus menolak naratif Pas memulakan perpecahan.

Menurut beliau, pemutusan hubungan Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2017 dibuat selepas PKR didakwa melanggar syarat tahaluf, termasuk menentang agenda Islam seperti Rang Undang-Undang 355 serta bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Pas di Kelantan.

Keputusan itu, katanya, dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas dan disokong melalui usul yang diluluskan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-63.

Berhubung kegagalan MN untuk berkembang, Ahmad Fadhli menegaskan ia bukan berpunca daripada Pas, sebaliknya disebabkan keengganan UMNO menerima penyertaan BERSATU walaupun persetujuan awal telah dicapai.

Beliau merujuk kepada kenyataan pimpinan BERSATU dan Pas yang mengesahkan jemputan rasmi telah dibuat, namun tidak disambut oleh UMNO.

Mengulas keseluruhan tuduhan, Ahmad Fadhli menegaskan Pas secara konsisten bertahan dalam hampir semua gabungan politik disertainya dan hanya berpisah selepas dikhianati, disingkirkan atau apabila prinsip asas dilanggar.

“Jika ketegasan mempertahankan prinsip dianggap sebagai kegagalan bekerjasama, maka masalah sebenar bukan Pas, tetapi sikap politik oportunis yang menuntut kompromi tanpa batas,” katanya.

Beliau menambah, dakwaan Pas gemar ‘berpoligami politik’ tidak dapat dipertahankan dari sudut fakta dan sejarah, malah bercanggah dengan kajian akademik sedia ada yang menunjukkan Pas bukan pencetus perpecahan dalam mana-mana pakatan utama negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *