PETALING JAYA – Ahli Jawatankuasa Amanah, Raja Kamarul Bahrin menegur kenyataan seorang pemimpin sayap pemuda parti itu yang mengkritik rombakan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya berkaitan ketiadaan wakil Amanah dalam portfolio hal ehwal agama.
Beliau berkata, Exco Pemuda Amanah, Azri Abdullah sepatutnya membuat penelitian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan rombakan tersebut sebagai satu tindakan merugikan parti
Menurut Raja Kamarul Bahrin, cadangan Azri agar Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dilantik Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama juga disifatkan kurang tepat memandangkan pengalaman serta kedudukan bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu pernah memegang jawatan menteri bagi portfolio berkenaan.
Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bermula 2018, Dr. Mujahid telah memainkan peranan penting termasuk menyelesaikan beberapa isu besar melibatkan Tabung Haji.
Tambahnya, jawatan Timbalan Menteri yang dicadangkan itu tidak setara dengan kedudukan Dr. Mujahid sebagai Timbalan Presiden parti, bekas menteri, Senator serta tokoh agama yang berpengaruh di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Apabila Azri mendakwa Amanah dipinggirkan atau menggunakan istilah ‘pelempang kepada Amanah’, ia memperlihatkan kekurangan kefahaman terhadap tatacara dan mekanisme dalaman dalam proses pelantikan menteri antara parti komponen,” katanya dalam satu kenyataan.
Raja Kamarul Bahrin turut menjelaskan, dari sudut protokol, Perdana Menteri lazimnya akan mempertimbangkan senarai nama yang dikemukakan oleh parti berkenaan sebelum sebarang pelantikan dibuat.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Azri sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan Amanah bagi mengesahkan sama ada nama Dr. Mujahid pernah dikemukakan sebagai calon sebelum mendakwa parti tersebut diketepikan.
Beliau berkata, persoalan mengenai ketiadaan Dr. Mujahid dalam Kabinet sering dibangkitkan, memandangkan tokoh berkenaan merupakan antara pemimpin agama paling menonjol dalam Amanah, sedangkan terdapat ahli parti lain yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Madani.
Semalam, Azri mempertikaikan pelantikan aktivis Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta ketiadaan wakil Amanah dalam portfolio tersebut.
Selain Dr. Mujahid, beliau turut mencadangkan nama Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dan Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda.
Rombakan Kabinet yang diumumkan kelmarin menyaksikan Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar digugurkan dari jawatan menteri hal ehwal agama dan digantikan oleh Zulkifli Hasan, sebelum ini timbalan menteri.
Dalam rombakan sama, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu kekal sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala Naib Presidennya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad meneruskan tugas sebagai Menteri Kesihatan.
Dua lagi pemimpin Amanah, iaitu Adly Zahari dan Aiman Athirah Sabu masing-masing kekal sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pertahanan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
