Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad dan Dr. Raffa Ahmad Bazuli

Latarbelakang
Di Malaysia, kebanyakan pekerja sektor awam mahupun swasta menghabiskan sebahagian besar masa mereka di pejabat, sekitar empat puluh jam seminggu. Namun, kita tidak menyedari bahawa persekitaran tempat kerja yang kelihatan cantik dan bersih boleh menyimpan risiko kesihatan yang bahaya.
Antara ancaman yang sering diabaikan ialah pencemaran kulat, yang bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti udara dalaman, bahkan memberi kesan buruk terhadap kesihatan.
Dalam bangunan tertutup, kelembapan yang tinggi, pengudaraan tidak mencukupi serta sistem penyaman udara tidak diselenggara dengan baik mewujudkan keadaan ideal untuk pertumbuhan kulat.
Spora kulat yang terapung di udara boleh dihidu oleh penghuni tanpa disedari dan boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan akut dan kronik seperti gangguan pernafasan, alahan, keletihan kronik dan kesukaran untuk menumpukan perhatian dalam pekerjaan.
Keadaan ini sering dikaitkan sebagai ”Sick Building Syndrome” (SBS), di mana individu mengalami simptom kesihatan yang berkaitan secara langsung dengan masa dihabiskan dalam sesebuah bangunan, tanpa punca penyakit dapat dikenal pasti secara jelas. Menariknya, simptom ini selalunya akan berkurang apabila berada di luar persekitaran kerja.
Artikel ini bertujuan meningkat kesedaran mengenai bahaya kulat di pejabat, hubungannya dengan Sick Building Syndrome serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh majikan dan pekerja demi mewujudkan persekitaran kerja lebih sihat dan selamat.
Apakah itu Sick Building Syndrome?
”Sick Building Syndrome” (SBS) merujuk kepada keadaan di mana penghuni sesebuah bangunan mengalami pelbagai simptom kesihatan yang tidak spesifik, tetapi dikaitkan secara langsung dengan tempoh mereka berada di dalam bangunan tersebut.
Simptom ini biasanya akan berkurangan atau hilang apabila individu meninggalkan bangunan berkenaan, namun berulang apabila mereka kembali ke persekitaran yang sama.
Antara simptom sering dilaporkan termasuk sakit kepala berulang, keletihan melampau, mata hidung atau tekak kering dan iritasi. Di samping itu, pekerja juga mengalami kesukaran menumpukan perhatian pada kerja. Selain itu, simptom seperti batuk, sesak nafas, kulit gatal atau ruam juga turut dilaporkan.
Banyak faktor boleh menyumbang kepada SBS, kualiti udara dalaman yang buruk merupakan penyebab utama, termasuk pencemaran biologi seperti kulat, bakteria dan hama debu.
Bagaimana Kulat Menyumbang kepada Sick Building Syndrome?
Kulat menghasilkan spora halus yang boleh terapung di udara dan disedut tanpa disedari. Apabila spora ini memasuki sistem pernafasan, ia boleh mencetuskan tindak balas imuniti tubuh, terutamanya dalam kalangan individu yang sensitif atau mempunyai penyakit sedia ada seperti asma, resdung dan alahan.
Selain itu, sesetengah jenis kulat turut menghasilkan mikotoksin, iaitu bahan toksik yang boleh memberi kesan terhadap sistem pernafasan, imun dan saraf. Pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar kulat boleh mengakibatkan simptom kronik seperti keletihan melampau, sakit kepala berpanjangan dan gangguan tumpuan.
Keadaan ini sering disalah anggap sebagai tekanan kerja atau keletihan biasa, sedangkan puncanya mungkin berpunca daripada pencemaran udara dalaman akibat kulat.
Faktor Persekitaran Yang Menggalakkan Pertumbuhan Kulat di Pejabat
Kulat tidak tumbuh secara tiba-tiba; ia memerlukan keadaan persekitaran tertentu untuk membiak. Antara faktor utama ialah kelembapan yang tinggi, terutamanya apabila tahap kelembapan melebihi 60 peratus kerana ia meningkatkan risiko pertumbuhan kulat secara mendadak.
Pengudaraan yang lemah juga menyumbang, di mana aliran udara tidak mencukupi menyebabkan udara lembap terperangkap dalam ruang tertutup.
Sistem penyaman udara tidak diselenggara dengan baik, termasuk penapis kotor dan saluran udara berhabuk, turut menyediakan habitat sesuai untuk kulat membiak. Kebocoran air dan kerosakan struktur seperti siling bocor atau paip rosak mencipta persekitaran lembap yang ideal bagi pertumbuhan kulat.
Penggunaan permaidani di kawasan lembap juga meningkatkan risiko, kerana karpet sudah memerangkap kelembapan dan menjadi tempat pembiakan kulat tersembunyi.
Beberapa negara beriklim lembap seperti Singapura, Jepun dan Korea Selatan telah menunjukkan masalah kulat di bangunan pejabat boleh dikawal dengan berkesan melalui sistem pengurusan bangunan yang ketat.
Singapura, misalnya melaksanakan pemeriksaan kualiti udara dalaman secara berkala dan mewajibkan servis sistem penghawa dingin bagi mencegah pertumbuhan kulat.
Jepun pula menggunakan teknologi penyah-lembap dan sistem kawalan automatik bagi memastikan kelembapan berada pada tahap selamat. Korea Selatan memperkenalkan audit udara dalaman secara berkala di bangunan pejabat awam. Pendekatan ini membuktikan kawalan kulat bukan mustahil demi menjamin kesihatan pekerja.
Kesan Pada Kesihatan Akibat Pendedahan Kepada Kulat
Pendedahan berterusan kepada kulat boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan fizikal dan mental pekerja. Antara kesan yang paling ketara ialah gangguan sistem pernafasan, di mana spora kulat dihidu boleh menyebabkan batuk, hidung tersumbat, sesak nafas serta mencetuskan serangan asma.
Dalam kes pendedahan jangka panjang terutamanya kepada individu yang mempunyai sistem imun lemah, risiko jangkitan paru-paru seperti aspergillosis turut meningkat. Selain itu, kulat juga boleh mencetuskan reaksi alahan dan masalah kulit, termasuk mata gatal, bersin berulang, ruam kemerahan serta kulit kering dan sensitif.
Lebih membimbangkan, sesetengah spesis kulat menghasilkan bahan kimia toksik yang mampu menjejaskan fungsi sistem saraf. Keadaan ini boleh mengakibatkan gejala seperti sakit kepala berpanjangan, gangguan tidur, keletihan kronik serta masalah daya ingatan dan keupayaan menumpukan perhatian. Golongan paling berisiko mengalami kesan kesihatan lebih teruk adalah penghidap asma, pesakit diabetes, pesakit kanser, individu dengan sistem imun yang rendah, wanita hamil serta warga emas.
Oleh itu, pendedahan kepada kulat tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah produktiviti dan kualiti hidup pekerja secara kesuluruhan.
Dari Lensa Pakar Perubatan dan Doktor Kesihatan Pekerjaan
Namun, harus diingat, SBS tidak hanya disebabkan oleh kulat. Terdapat banyak punca mikroorganisma yang juga perlu dititikberatkan dalam hal ini. Sebagai contoh, bakteria dan juga virus. Tidak lupa juga bahan kimia lain yang terkumpul dalam sistem pengudaraan sesebuah bangunan yang boleh menyumbang dan menjadi faktor tambahan.
Pengamal perubatan perlu memainkan peranan sekiranya seseorang pesakit hadir ke klinik dengan gejala-gejala yang dibincangkan. Ini boleh dilakukan melalui sejarah pekerjaan dan persekitaran yang lengkap, lebih-lebih lagi jika gejala tersebut merupakan sesuatu berulang-ulang, dalam masa singkat.
Tindakan seterusnya adalah melalui ujian lanjut yang boleh merangkumi pengambilan darah, pengimejan paru-paru (xray dada) dan juga pengambilan spesimen kahak, sekiranya perlu. Jika gejala menyebabkan masalah kulit sebagai gejala utama dan berulang, sampel kulit pula boleh diambil untuk dihantar ke makmal bagi pemeriksaan selanjutnya, apabila gejala tidak juga surut dengan rawatan empirikal.
Dari sudut pandangan Doktor Kesihatan Pekerjaan, gejala Sick Building Syndrome berkait rapat dengan kualiti pengudaraan dalaman yang tidak memuaskan serta tempoh pendedahan pekerja dalam bangunan tersebut.
Sebarang aduan berkaitan SBS hendaklah dimaklumkan oleh majikan kepada pemilik bangunan untuk siasatan lanjut dan pelaksanaan tindakan penambahbaikan.
Sekiranya punca tidak dapat dikenal pasti, pemilik bangunan wajib melantik Indoor Air Quality Assessor (IAQ) berdaftar bagi menjalankan penilaian kualiti udara dalaman semasa waktu bekerja biasa.
Jika laporan mendapati IAQ adalah tidak memuaskan, langkah kawalan termasuk penghapusan, pembersihan dan pencegahan sumber pencemaran serta penambahbaikan sistem pengudaraan hendaklah dilaksanakan.
Majikan pula bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pekerja mengenai risiko kesihatan akibat pengudaraan tidak selamat, kaedah aduan, keputusan penilaian IAQ serta tindakan pembaikan yang telah diambil, di samping menyediakan latihan berkaitan pengenalpastian gejala dan keadaan pengudaraan tidak selamat.
Pekerja juga wajib bekerjasama dengan menghadiri latihan serta mematuhi segala arahan majikan bagi memastikan kualiti udara dalaman sentiasa terpelihara. – ND
Dr. Nur Nabilah Abu Bakar adalah Pensyarah Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan I, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad adalah Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesiahtan, USIM & Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Dr. Raffa Ahmad Bazuli adalah Doktor Kesihatan Pekerjaan, Poliklinik Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Rujukan:
World Health Organization (WHO). (2009). Indoor air quality: Dampness and mould.
Kim et al. (2024). Environmental Health and Preventive Medicine.
Li et al. (2024). Buildings.
Rodrigues et al. (2022). Mycological Progress.
Chan & Lee (2023). Building and Environment.
Industry Code of Practise In Door Air Quality 2010
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001