PROVIDENCE – Suasana tenang di University Brown bertukar panik dan huru-hara apabila satu insiden tembakan berlaku di sebuah bangunan kejuruteraan kampus berprestij itu, mengorbankan dua individu dan lapan yang lain cedera.
Kejadian itu disahkan Datuk Bandar Providence, Brett Smiley dalam satu kenyataan rasmi kepada media semalam.
Kejadian tragis tersebut dilaporkan berlaku pada petang Sabtu di bangunan Barus & Holley, sebuah fasiliti utama menempatkan makmal komputer serta fakulti kejuruteraan universiti berkenaan.
Insiden ini berlaku pada waktu yang amat sensitif, iaitu sekitar jam 4.05 petang waktu tempatan, ketika pelajar sedang menghadapi hari kedua peperiksaan akhir semester.
Sejurus menerima laporan tembakan, pihak Universiti Brown segera mengeluarkan amaran “penembak aktif” kepada seluruh komuniti kampus.
Pelajar dan kakitangan diarahkan supaya berlindung di lokasi masing-masing serta mengunci pintu demi keselamatan, sekali gus mencetuskan suasana cemas di seluruh kawasan universiti.
Pada peringkat awal, pihak universiti memaklumkan, seorang suspek telah berjaya ditahan, namun kenyataan tersebut kemudiannya ditarik balik, dengan pengesahan terkini menyatakan tiada individu berada dalam tahanan setakat ini.
Operasi memburu suspek masih giat dijalankan polis tempatan dengan kawalan keselamatan diperketatkan di sekitar kampus dan kawasan sekitarnya.
Menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa, semua lapan mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, tetapi stabil.
Identiti mangsa, termasuk mereka yang terkorban, belum didedahkan kepada umum sementara siasatan diteruskan.
Insiden ini telah mengejutkan komuniti kampus dan mencetuskan kebimbangan mendalam mengenai tahap keselamatan di institusi pengajian tinggi, khususnya di Amerika Syarikat yang sering berdepan insiden keganasan bersenjata. Ramai pelajar dan pensyarah dilaporkan trauma akibat kejadian tersebut.
Pihak berkuasa tempatan kini bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa undang-undang persekutuan bagi menyiasat motif serangan, mengenal pasti suspek serta memastikan keselamatan orang awam terus terjamin.
Siasatan terperinci masih dijalankan dan perkembangan lanjut dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001