BANGKOK – Ketegangan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja terus memuncak apabila sekurang-kurangnya 15 anggota tentera Thailand dilaporkan terbunuh, manakala 270 yang lain cedera dalam siri pertempuran terbaharu yang tercetus sejak awal Disember lalu.
Perkara itu disahkan jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri dalam satu sidang media semalam.
Pertempuran bermula sejak 7 Disember lalu itu menyaksikan kedua-dua negara jiran saling menuding jari, masing-masing menuduh pihak lawan sebagai pencetus konflik bersenjata.
Situasi tegang itu tertumpu di beberapa kawasan sempadan yang dipertikaikan, termasuk wilayah Sisaket di Thailand dan Banteay Meanchey di Kemboja, yang kini menjadi medan pertempuran berpanjangan.
Menurut Surasant, skala konflik semakin meluas memaksa kerajaan Thailand mengambil langkah kecemasan dengan menubuhkan sebanyak 970 pusat perlindungan sementara.
Setakat ini, lebih 263,000 penduduk tempatan dilaporkan terpaksa dipindahkan demi keselamatan, menjadikan krisis kemanusiaan ini antara paling serius dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau turut mengesahkan, jumlah korban orang awam Thailand kini meningkat kepada tujuh orang.
Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Diraja Thailand (RTA) mendakwa pasukan tentera Kemboja telah melancarkan serangan ke atas kawasan awam di wilayah Sisaket.
Serangan tersebut dilaporkan berlaku ketika penduduk tempatan sedang bergegas ke pusat perlindungan selepas siren amaran serangan udara dibunyikan, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang awam cedera parah.
RTA mengecam keras tindakan ketenteraan itu dan menyifatkannya sebagai serangan yang tidak bertanggungjawab serta mengancam keselamatan orang awam.
Tentera Thailand turut menegaskan, mereka berhak mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat daripada sebarang ancaman luar.
Setakat ini, Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan Thailand, namun Kementerian Dalam Negerinya dalam satu kenyataan media semalam mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand sehingga satu notis lanjut dikeluarkan.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu diambil sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “tindakan pencerobohan” oleh Thailand, yang didakwa telah mengakibatkan kematian orang awam serta kerosakan serius terhadap infrastruktur dan kawasan kediaman di pihak Kemboja.
Dalam pada itu, kerajaan Kemboja menasihatkan warganya yang berada dan bekerja di Thailand supaya meneruskan kehidupan seperti biasa, manakala rakyat Thailand yang kini berada di Kemboja turut diminta kekal di negara itu sehingga satu perjanjian gencatan senjata berjaya dicapai.
Ketika usaha diplomatik belum menunjukkan hasil, masyarakat antarabangsa semakin bimbang terhadap kemungkinan konflik ini merebak dan menjejaskan kestabilan serantau, sekali gus menyerlahkan keperluan mendesak untuk dialog dan penyelesaian secara damai.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
