Indonesia akhirnya mohon maaf, jerebu rentas sempadan dedahkan kelemahan

Dari Meja Editorial ND

AKHIRNYA Indonesia secara terbuka memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berikutan kejadian jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu.

Permohonan maaf itu wajar diberikan perhatian kerana kesan kebakaran berkenaan bukan sahaja menjejaskan kehidupan dan kesihatan penduduk di dua negara jirannya, malah turut ditanggung rakyat Indonesia.

Namun, timbul persoalan mengapa permohonan maaf itu hanya disampaikan selepas masalah jerebu berlarutan hampir empat bulan sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat di rantau ini.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Sekiranya sejak awal Indonesia mengakui keseriusan masalah berkenaan, menunjukkan kesediaan menerima bantuan antarabangsa dan bekerjasama dengan negara jiran, mungkin usaha memadam kebakaran dapat dilaksanakan lebih berkesan.

Dalam isu membabitkan pencemaran udara rentas sempadan, soal maruah negara tidak sepatutnya mengatasi kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat.

Bayangkan, sepanjang tempoh berbulan-bulan itu, jutaan penduduk terpaksa berdepan dengan udara tercemar, khususnya golongan kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai masalah pernafasan.

Sekolah terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, aktiviti luar dikurangkan dan penduduk terpaksa mengehadkan pergerakan bagi mengelakkan pendedahan berlebihan kepada udara tercemar.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Lebih menyedihkan, rakyat Indonesia sendiri menjadi antara kelompok paling teruk menerima kesan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di negara mereka.

Jerebu bukan sekadar mengganggu pandangan atau menyebabkan suasana menjadi kelabu. Zarah halus yang terkandung dalam asap kebakaran boleh memasuki sistem pernafasan, memburukkan penyakit paru-paru serta meningkatkan risiko masalah kardiovaskular.

Sebab itu, kenyataan yang cuba memperkecilkan bahaya jerebu atau mempertahankan keadaan dengan pelbagai alasan hanya menambahkan kekecewaan masyarakat.

Ada pemimpin dan pihak tertentu di Indonesia sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan tahap bahaya jerebu, malah ada yang cuba menggambarkan keadaan itu seolah-olah tidak membawa ancaman besar kepada kesihatan.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah, malah memperlihatkan kegagalan memahami keresahan rakyat yang terpaksa menghirup udara tercemar setiap hari.

Dalam hubungan serantau, Indonesia juga perlu memahami bahawa kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di wilayahnya bukan lagi semata-mata masalah domestik apabila asapnya merentasi sempadan dan menjejaskan negara lain.

Presidennya, Prabowo ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, pada Ahad, menyampaikan permohonan maaf bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia kepada Malaysia serta Singapura.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan Indonesia sudah menggerakkan pelbagai usaha bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan pencemaran udara di rantau ini.

Menurut laporan portal Kompas yang memetik kenyataan Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden Indonesia, kerajaan mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap syarikat yang terbabit dalam pembakaran hutan dan tanah.

Prabowo berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk pembatalan konsesi dan prosiding undang-undang sudah dilaksanakan terhadap syarikat yang dikenal pasti terbabit.

Sebanyak 17 konsesi syarikat dibatalkan, manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 daripadanya sudah didakwa.

Sebanyak 23 lagi syarikat dijadualkan didakwa, sementara keseluruhan 104 syarikat sedang disiasat oleh pasukan polis.

Dalam operasi memadam kebakaran pula, Indonesia menggerakkan kira-kira 71,000 anggota. Prabowo turut mendedahkan bahawa 16 anggota terkorban, ramai lagi mengalami kecederaan dan dua helikopter musnah ketika operasi dijalankan.

Angka itu menggambarkan betapa seriusnya cabaran yang dihadapi pasukan keselamatan dan anggota pemadam kebakaran Indonesia dalam mengawal kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan memadam kebakaran sahaja tidak mencukupi sekiranya punca yang menyebabkan kejadian berulang tidak ditangani secara menyeluruh.

Prabowo sendiri mengakui keperluan mengubah pendekatan kerajaan daripada terlalu bergantung kepada operasi pemadaman dan mitigasi kepada sistem pencegahan yang lebih tersusun.

Sehubungan itu, Indonesia sedang membuat persiapan menubuhkan sebuah agensi baharu serta melaksanakan program tambahan bagi memperkukuh usaha mencegah kebakaran hutan dan tanah pada masa hadapan.

Pengakuan tersebut merupakan satu perkembangan positif. Namun, yang lebih penting ialah sejauh mana segala komitmen itu dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan bukannya sekadar pengumuman ketika masalah sudah berlaku.

Indonesia perlu memperkukuh pemantauan kawasan hutan, mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pembakaran secara sengaja, memperbaiki pengurusan tanah gambut serta memastikan syarikat perladangan mematuhi undang-undang alam sekitar.

Pada masa sama, kerjasama dengan Malaysia dan Singapura perlu diperkukuh melalui mekanisme serantau yang membolehkan bantuan kepakaran, peralatan serta aset pemadaman digerakkan tanpa kelewatan apabila berlaku kecemasan.

ASEAN juga tidak seharusnya terus terperangkap dalam kitaran perbincangan dan kenyataan diplomatik setiap kali jerebu melanda rantau ini.

Isu jerebu rentas sempadan bukan perkara baharu. Ia sudah berulang sejak sekian lama dan setiap kali kejadian berlaku, negara jiran terpaksa menanggung akibat daripada kebakaran yang berpunca di luar wilayah mereka.

Permohonan maaf Prabowo harus dilihat sebagai langkah penting dalam memulihkan keyakinan Malaysia dan Singapura terhadap komitmen Indonesia menangani masalah berkenaan.

Namun, permohonan maaf sahaja tidak mampu membersihkan udara, mengembalikan kesihatan mereka yang terjejas atau memadamkan kebakaran yang masih berlaku.

Apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan yang konsisten, ketegasan terhadap pihak yang bertanggungjawab dan kesediaan bekerjasama tanpa dibatasi sentimen kedaulatan negara.

Dalam hubungan kejiranan, mengakui kesilapan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, itulah asas kepada kepercayaan dan tanggungjawab bersama.

Indonesia perlu membuktikan bahawa permohonan maaf Presidennya bukan sekadar ungkapan diplomatik di pentas ASEAN, tetapi permulaan kepada perubahan besar dalam pengurusan hutan dan alam sekitar.

Jangan sampai apabila jerebu kembali menyelubungi rantau ini, Malaysia dan Singapura sekali lagi terpaksa menunggu permohonan maaf yang sama.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *