Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS Sama Dengan Malayan Union Baharu – Tun M

PETALING JAYA – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik keras Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), dengan menyifatkannya sebagai satu bentuk “Malayan Union versi moden” yang didakwa mengancam kedaulatan negara.

Menurut beliau, perjanjian itu bukan sekadar isu perdagangan, sebaliknya membawa implikasi besar terhadap asas perlembagaan negara, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-raja Melayu.

Dr. Mahathir mendakwa, jika ART diterima tanpa tentangan, ia berpotensi membuka ruang kepada campur tangan asing dalam urusan dalaman negara.

“ART ini tidak jauh bezanya dengan Malayan Union yang diperkenalkan British pada tahun 1946. Ketika itu, kuasa asing cuba memaksakan satu sistem yang menafikan hak orang Melayu dan melemahkan peranan Raja-raja Melayu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen Melayu 153 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Dr. Mahathir mengingatkan, penentangan terhadap Malayan Union berjaya dilaksanakan bukan kerana kekuatan material, tetapi hasil penyatuan bangsa Melayu ketika negara berada dalam keadaan serba kekurangan.

“Jika generasi terdahulu mampu menggagalkan Malayan Union melalui perpaduan, maka pada hari ini juga, hanya dengan kesatuan suara dan pendirian yang tegas, kita mampu menolak ART serta mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera sebagai tunjang negara,” tegasnya.

Sebelum ini, Dr. Mahathir turut mendakwa perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 26 Oktober lalu itu tidak berperlembagaan, kerana dikatakan bercanggah dengan beberapa peruntukan utama Perlembagaan Persekutuan.

Antara yang dibangkitkan ialah perkara berkaitan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan Raja-raja Melayu serta kuasa kerajaan negeri.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut telah dinafikan oleh bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dengan menegaskan hak Bumiputera tetap dilindungi dan menjadi syarat utama dalam rundingan sebelum perjanjian berkenaan dimuktamadkan.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir turut mempertikaikan jaminan bahawa syarat-syarat yang ditetapkan Malaysia akan dihormati oleh AS.

Menurut beliau, sejarah membuktikan AS sering mengabaikan perjanjian dan ketetapan antarabangsa apabila ia tidak memihak kepada kepentingan mereka.

“Ketetapan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu badan tertinggi dunia pun kerap dilanggar oleh Amerika Syarikat. Ada kalanya, keputusan tersebut dipijak-pijak tanpa sebarang rasa hormat,” katanya.

Beliau menegaskan, selagi sesuatu perjanjian tidak memberi keuntungan kepada AS, negara itu tidak teragak-agak untuk mengingkari syarat yang telah dipersetujui.

“Sejarah telah membuktikan, dari dahulu hingga sekarang, mereka tidak akan mematuhi garis merah dan syarat-syarat yang tidak menguntungkan mereka,” ujarnya lagi.

Pada 2 Disember lalu, Dr. Mahathir turut membuat laporan polis berhubung perjanjian ART, dengan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menandatangani perjanjian tersebut secara bersendirian.

Menurut beliau, seorang individu tidak boleh mewakili keseluruhan Persekutuan dalam perkara sebesar itu tanpa melalui saluran perlembagaan yang sewajarnya.

“Sebarang perjanjian antarabangsa yang melibatkan kedaulatan negara sepatutnya dibahaskan dan diluluskan melalui Dewan Rakyat, selain mendapat perkenan Majlis Raja-raja,” katanya.

Dr. Mahathir turut menegaskan, kegagalan mematuhi proses tersebut boleh membuka ruang kepada pencabulan kedaulatan negara serta melemahkan sistem pemerintahan berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *