UEC Perlu Dinilai Dalam Kerangka Negara Bangsa, Bukan Sentimen Politik — MPN

KUALA LUMPUR – Isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) kembali mencetuskan perdebatan nasional, namun Majlis Profesor Negara (MPN) mengingatkan perkara itu tidak wajar terus dibahaskan secara emosional atau dipolitikkan, sebaliknya perlu dinilai secara menyeluruh dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta aspirasi pembinaan negara bangsa.

Presiden MPN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, setiap kali isu UEC dibangkitkan, wacana awam sering terperangkap dalam polemik kaum dan kepentingan komuniti, sedangkan pendidikan merupakan asas strategik kepada perpaduan dan masa depan negara.

“Sebagai sebuah negara yang matang, kita tidak boleh menangani isu pendidikan secara reaktif. Pendekatan yang lebih rasional, berpaksikan sejarah, dasar dan kepentingan nasional perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Konvensyen Melayu 153 di sini, hari ini.

Menurut beliau, perbincangan mengenai UEC hanya boleh mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan sekiranya masyarakat kembali memahami latar sejarah kewujudannya, rasional dasar pendidikan negara serta meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi tuntutan mana-mana kumpulan.

Dr. Raduan menjelaskan, UEC bukanlah sistem peperiksaan yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan. Ia diperkenalkan pada tahun 1975 oleh pertubuhan pendidikan masyarakat Cina bagi memenuhi keperluan sekolah menengah Cina swasta yang memilih untuk berada di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Sejak sebelum dan selepas kemerdekaan, kerajaan melalui Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 telah menetapkan prinsip jelas, pendidikan mesti menjadi wahana penyatuan nasional. Dalam semangat toleransi dan konsensus sosial awal, kewujudan sekolah menengah Cina swasta dibenarkan untuk terus beroperasi.

Namun, kelonggaran tersebut diberikan dengan kefahaman sekolah-sekolah berkenaan berfungsi sebagai laluan pendidikan komuniti, bukan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

“Kelonggaran ini berasaskan tiga perkara utama, iaitu tidak menuntut pembiayaan kerajaan, tidak mengganggu dasar pendidikan nasional dan tidak menuntut kesetaraan dengan peperiksaan awam negara,” katanya.

Justeru, jelas beliau, UEC pada asalnya diwujudkan sebagai mekanisme pendidikan komuniti, bukan instrumen dasar negara.

Dalam tempoh beberapa dekad, UEC berkembang secara berperingkat. Ia diterima oleh universiti luar negara dan sektor pendidikan swasta, manakala graduannya pula menunjukkan prestasi akademik yang memberangsangkan.

Perkembangan tersebut, menurut MPN, tidak pernah dihalang kerana UEC masih beroperasi dalam ruang autonomi yang difahami bersama oleh semua pihak.

Namun, isu mula timbul apabila tuntutan terhadap UEC berubah sifat, daripada sekadar laluan pendidikan alternatif kepada desakan pengiktirafan nasional yang setara dengan sistem kebangsaan.

“Masalahnya bukan kewujudan UEC, tetapi apabila tuntutan berkembang sehingga mencabar kerangka dasar negara, sedangkan UEC tidak berada di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), tidak diselaraskan dengan kurikulum kebangsaan, tidak menjadikan Bahasa Melayu sebagai teras, dan tidak meletakkan elemen kenegaraan sebagai asas utama,” katanya.

Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai fenomena “lulus harum, lulus kelindan”, di mana ruang toleransi yang kecil akhirnya berkembang menjadi tuntutan besar.

MPN menegaskan, sebarang pertimbangan terhadap UEC mesti berpaksikan tiga tonggak utama negara. Pertama, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Kedua, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menegaskan satu sistem pendidikan nasional sebagai teras pembinaan identiti bersama.

Ketiga, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembentukan insan seimbang dan berjiwa negara.

“Dalam bentuknya sekarang, UEC belum memenuhi kesemua keperluan ini secara menyeluruh. Maka isu ini bukan soal prejudis atau penafian hak, tetapi soal keselarasan dengan asas kenegaraan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, MPN mengambil pendirian, UEC tidak boleh diterima secara automatik, namun juga tidak wajar ditolak secara emosional. Negara perlu bertindak dengan kebijaksanaan dasar dan pandangan jauh.

Pendekatan yang disarankan ialah penyelarasan dan penentukuran, bukan penerimaan mutlak atau penolakan total. Ini termasuk memastikan sebarang laluan pengiktirafan memenuhi standard kebangsaan, menjadikan Bahasa Melayu, sejarah Malaysia dan kenegaraan sebagai keperluan teras, serta mengekalkan pendidikan sebagai alat integrasi nasional.

“Ini bukan soal memenuhi tuntutan komuniti tertentu, tetapi soal menjaga kepentingan negara untuk jangka panjang,” katanya.

Dr. Raduan menegaskan, keputusan yang dibuat hari ini akan membentuk wajah Malaysia pada dekad-dekad akan datang. Tanpa titik temu nasional dalam pendidikan, risiko polarisasi sosial akan terus meningkat.

Sebaliknya, jika semua jalur pendidikan diselaraskan dalam satu kerangka kenegaraan yang jelas, kepelbagaian dapat diraikan tanpa mengorbankan perpaduan nasional.

“UEC bukan sekadar isu sijil atau laluan akademik. Ia adalah ujian kematangan kita sebagai sebuah negara,” katanya.

MPN menegaskan pendiriannya bahawa pendekatan paling bertanggungjawab ialah tidak menerima UEC secara mutlak dan tidak menolaknya secara keras, sebaliknya menuntut penyelarasan penuh dengan Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi negara bangsa.

“Itulah jalan tengah yang berwibawa, berprinsip dan berpandangan jauh demi Malaysia yang bersatu dan bermaruah,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *