SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi sebuah video yang tular di media sosial, mendakwa beliau telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
Menurut mantan Perdana Menteri kelapan itu, dakwaan tersebut adalah tuduhan liar bersifat sangkaan semata-mata serta langsung tidak berasas.
Beliau menegaskan, sepanjang penglibatannya dalam parti, tidak pernah terlibat dalam sebarang perbuatan mencuri wang parti seperti didakwa.
“Saya ingin menegaskan, saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan dan dana parti dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti yang diuruskan secara telus oleh Bendahari Agung,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan kemungkinan dakwaan berkenaan dibuat susulan maklumat tidak benar yang diterima oleh Tun Dr. Mahathir daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Muhyiddin berpandangan, sebagai seorang negarawan berpengalaman, Tun Dr. Mahathir sepatutnya mendapatkan penjelasan secara langsung daripadanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terbuka yang boleh mencemarkan reputasi dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Malah, dalam banyak pertemuan saya dengan beliau sebelum ini, perkara ini tidak pernah sekali pun dibangkitkan di hadapan saya,” jelasnya.
Muhyiddin berkata, penjelasan yang dibuat itu adalah penting bagi mengelakkan fitnah berterusan serta salah faham orang ramai terhadap dirinya.
Walaupun demikian, beliau tetap menghormati Tun Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh berusia dan negarawan negara.
Muhyiddin turut mengakui, beliau sebelum ini menyokong usaha Tun Dr. Mahathir dalam memperjuangkan perpaduan orang Melayu dan hubungan antara mereka selama ini adalah baik serta akrab.
“Atas dasar hormat tersebut, saya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang atau mengheret beliau ke mahkamah,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat bagi menjernihkan keadaan susulan penularan video berkenaan yang mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan orang ramai.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
