PRK Sungai Bakap: BN atur strategi menangkan calon Kerajaan Perpaduan - Zambry

Isu UEC: Sebarang Keputusan Perlu Selaras Perlembagaan dan Dasar Negara – KPT

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, sebarang cadangan atau keputusan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti berpandukan Perlembagaan Persekutuan, selari dengan prinsip Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd, Kadir berkata, isu itu tidak wajar diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak, sebaliknya perlu ditangani secara berprinsip dan berlandaskan kerangka perundangan negara.

Menurut beliau, pendirian Kerajaan Madani kekal konsisten dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, yang merupakan asas pembinaan negara serta tidak boleh dikompromi.

“Prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa pengecualian, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT sependapat dengan penegasan Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan, termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris serta sekolah antarabangsa bertanggungjawab memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Beliau menegaskan, keperluan itu bukan sahaja memenuhi kehendak perlembagaan, malah penting dalam usaha membina jati diri nasional serta memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk negara ini.

Zambry turut memaklumkan, kementeriannya akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara ke arah sistem yang inklusif, progresif dan berdaya saing dengan penekanan berterusan terhadap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras dalam bidang ilmu dan teknologi.

Pada masa sama, beliau berkata, KPT akan terus memperkasa penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa lain termasuk Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa suku kaum bagi melahirkan bakat nasional bersifat pelbagai bahasa, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan dan berupaya memenuhi keperluan serta cabaran global.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *