KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa satu perbahasan terbuka melibatkan bekas pegawai keselamatan dan pentadbiran negara bagi menilai implikasi Perjanjian Anwar–Trump terhadap kedaulatan Malaysia.
Seruan itu dibuat susulan kenyataan beberapa bekas pegawai kanan kerajaan yang mempertahankan perjanjian berkenaan dan menafikan wujud sebarang unsur penyerahan kuasa atau penghakisan kedaulatan negara.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik hari ini, Dr. Mahathir mempersoalkan keyakinan tokoh-tokoh terbabit dan mencadangkan supaya perkara itu diuji melalui perbahasan terbuka agar penilaian dibuat secara telus dan berfakta.
“Jika benar perjanjian itu tidak menjejaskan kedaulatan negara, maka biarlah ia dinilai secara terbuka supaya rakyat dapat menentukan sama ada Malaysia benar-benar berada dalam keadaan selamat atau sebaliknya,” katanya.
Terdahulu, laporan Bernama memetik beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan, termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Ketua Polis Negara, yang menyatakan perjanjian berkenaan tidak mengandungi elemen yang menggadai kedaulatan Malaysia.
Dr. Mahathir, bagaimanapun, berpandangan penjelasan sedemikian belum mencukupi dan perlu diperhalusi secara menyeluruh, memandangkan implikasi perjanjian antarabangsa lazimnya bersifat jangka panjang dan melibatkan kepentingan strategik negara.
Beliau sebelum ini turut membuat laporan polis, mendesak siasatan terhadap perjanjian itu yang didakwanya sebagai berpotensi membawa unsur pengkhianatan terhadap negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid dilaporkan telah mengemukakan Surat Tuntutan (Letter of Demand) kepada Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung kandungan serta kesan perjanjian tersebut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
