Adat Dijaga, Warisan Dibela: Koperasi CSWK Dilancar Rasmi Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Undang Luak Johol

SERDANG – Nama Cik Siti Wan Kembang (CSWK) bukan sekadar terukir dalam hikayat, tetapi menjadi simbol kewibawaan, kepahlawanan dan kehalusan budaya wanita Melayu yang harus terus dijulang,” kata Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Dato’ Muhammed Abdullah.

Beliau yang juga Penaung Dewan Kehormat Persilatan Malaysia (DKPM) berkata, figura legenda CSWK kekal menjadi rujukan utama dalam memahami keunggulan kepimpinan wanita Melayu pada zaman silam.

Sambil menyifatkan tokoh tersebut sebagai pemerintah yang bukan sahaja adil dan berwibawa, baginda juga memiliki kekuatan spiritual dan intelektual yang membawa kemakmuran kepada rakyatnya.

“Nama Cik Siti Wan Kembang bukan sekadar terukir dalam hikayat, tetapi menjadi simbol kewibawaan pemerintahan, kepahlawanan serta kehalusan budaya wanita Melayu.

“Legasi ini terus diketengahkan oleh Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) bawah kepimpinan Yang Amat Mulia Cik Wan Seri Nara Datuan Utama, (Dr) Fadzillah Hussin, yang sentiasa berusaha memartabatkan budaya dan identiti Melayu dalam era moden sebagai sumber inspirasi masyarakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-13 Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang anjuran PWPPRCSWKM di Dewan Big Pillars by Astana Putra di sini, malam tadi.

Turut hadir, (Dr) Fadzillah; Presiden Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM Malaysia), Roslim Abu; Pendekar Negara, Dato’ Sazali Salleh Dato’ Meor Abdul Rahman; dan Presiden Dewan Kehormat Persilatan Malaysia (DKPM), Farez Akmal Abdul Aziz.

Majlis berprestij itu turut menghimpunkan ratusan tetamu kehormat dari seluruh negara, termasuk tokoh persilatan, pemimpin badan warisan, panglima, pendekar serta penggiat budaya yang komited memelihara identiti Melayu dalam arus moden.

Selain meraikan ulang tahun penganjuran, majlis turut menyaksikan pelancaran Koperasi CSWK Maju Berhad, inisiatif ekonomi komuniti berasaskan produk kecantikan dan kesihatan berteraskan air dan bunga, suatu konsep yang dirumuskan untuk menonjolkan keaslian warisan alam Melayu.

Dalam ucapan itu, Dato’ Muhammed turut menzahirkan penghargaan kepada usaha PWPPRCSWKM yang terus komited melestarikan identiti dan khazanah Melayu melalui kegiatan seni, budaya dan dokumentasi sejarah.

Katanya, produk PWPPRCSWKM berasaskan gabungan unsur air yang melambangkan kesucian, manakala bunga sebagai simbol keharuman budaya Melayu itu, menjadikan produk Koperasi CSWK Maju berpotensi besar dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Penubuhan koperasi ini bukan sahaja bertujuan mengembangkan produk warisan, malah menyediakan peluang keusahawanan kepada wanita, belia dan komuniti setempat agar dapat menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi mereka. Tahniah kepada (Dr) Fadzillah),” katanya.

Dalam majlis itu, Dato’ Muhammed turut memberi penghargaan khas kepada tokoh besar persilatan tanah air yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan seni warisan Melayu:

Tokoh itu ialah Roslim Abu – Presiden DSSM Malaysia, yang diiktiraf atas usaha konsisten membawa Seni Silat Melayu ke pentas antarabangsa melalui pelbagai program, pertandingan dan kolaborasi budaya.

Dato’ Sazali Salleh – Pendekar Negara, yang dihormati sebagai ikon persilatan yang tegas, berilmu dan berpengaruh dengan sumbangan besar dalam melatih generasi pendekar baharu.

Farez Akmal Abdul Aziz – Presiden DKPM, dipuji atas kepimpinan moden dan berwawasan yang memperkukuh protokol persilatan, memperluas jaringan organisasi serta mempertingkat kredibiliti DKPM sebagai NGO berautoriti.

Dato’ Muhammed turut menyatakan keyakinan bahawa DKPM di bawah kepimpinan Farez Akmal akan terus berkembang sebagai pertubuhan yang menyumbang kepada kebajikan ahli dan masyarakat umum.

Menelusuri konteks negara yang berbilang bangsa, beliau menekankan bahawa perpaduan kaum merupakan asas Malaysia Madani dan perlu diperkukuh melalui penghayatan nilai hormat, adab dan kebijaksanaan.

Beliau turut mengaitkan peranan seni persilatan sebagai wadah pendidikan moral dan spiritual yang menyemai nilai murni dalam kalangan generasi muda.

“Ilmu itu biar tinggi, tetapi adab itu biar lebih tinggi. Langkah itu biar deras, tetapi hati itu biar berhikmah,” katanya sambil menegaskan nilai persilatan sejati harus menjadi panduan warga Malaysia dalam mengekalkan keharmonian negara.

Majlis turut menyaksikan harapan agar wujud hubungan kolaboratif antara Koperasi CSWK Maju Berhad, PWPPRCSWKM, DSSM Malaysia dan DKPM.

Kerjasama ini, katanya, bukan sahaja mampu memelihara warisan silat serta adat tradisi, malah memperkukuh ekosistem ekonomi budaya melalui pembangunan produk, program latihan serta penganjuran acara komuniti berskala nasional.

Menurut Dato’ Muhammed lagi, sinergi antara organisasi ini berpotensi besar membawa seni warisan Melayu ke pentas global dalam bentuk yang lebih profesional dan mampan.

Majlis makan malam turut disemarakkan dengan madah dan pantun tradisional yang mengangkat kecantikan bahasa Melayu sebagai teras peradaban bangsa.

Persembahan tersebut juga menyerikan suasana, sekali gus menzahirkan roh kebudayaan yang ingin dipertahankan.

Dalam ucapan penutup, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PWPPRCSWKM, Koperasi CSWK Maju Berhad, para penggiat warisan, tokoh persilatan dan semua pihak yang terus komited melestarikan khazanah budaya negara.

“Semoga usaha yang dimulakan pada malam gemilang ini menjadi titik permulaan kepada era baharu yang lebih maju, bermaruah dan bermanfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *