DKPM dan CSWK Perkukuh Kerjasama Demi Warisan, Budaya dan Ekonomi Komuniti – Che Azizan

SERDANG – Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-13 Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang berlangsung meriah dan penuh adat istiadat, menyatukan tokoh persilatan, pemimpin kesenian, pertubuhan warisan serta wakil masyarakat dari seluruh negara.

Acara gilang-gemilang yang mengangkat warisan ratu agung Kelantan itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Koperasi CSWK Maju Berhad oleh Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Dato’ Muhammed Abdullah, sekali gus menandakan babak baharu dalam pembangunan ekonomi komuniti berasaskan warisan Melayu.

Yang Dipertua Lembaga Agung Istiadat Dewan Kehormat Persilatan Malaysia (DKPM), Dato’ Che Azizan Abdullah dalam ucapannya menegaskan, warisan Cik Siti Wan Kembang bukan sekadar kisah sejarah, tetapi tiang seri identiti budaya, keteguhan kepimpinan dan kebijaksanaan wanita Melayu.

Beliau menyifatkan Cik Siti Wan Kembang sebagai ratu yang memimpin dengan adil, menjaga rakyat dan memastikan budaya Melayu terus berkembang mekar seperti bunga seroja yang harum.

“Kepimpinan ratu tersebut memberi teladan bahawa kuasa sebenar pemimpin terletak pada amanah terhadap rakyat dan kelestarian budaya, bukan sekadar kedudukan.

“Warisan kepimpinan figura tersebut kini diteruskan oleh Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, dipimpin Yang Amat Mulia Cik Wan Seri Nara Datuan Utama, yang memainkan peranan penting memelihara khazanah sejarah dan menyatukan masyarakat melalui projek budaya, komuniti dan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Che Azizan turut mengumumkan komitmen kerjasama strategik antara Dewan Kehormat Persilatan Malaysia (DKPM) dan Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.

Justeru, satu Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka dimeterai tahun hadapan bagi memperkukuh hubungan silaturrahim antara pertubuhan, pembangunan ekonomi berasaskan komuniti, pemeliharaan adat dan warisan serta memartabatkan dunia persilatan di peringkat nasional.

Menurut beliau, kerjasama itu menjadi bukti bahawa tradisi, budaya dan ekonomi mampu bergerak seiring demi manfaat generasi kini dan akan datang.

“Usaha kita bukan sahaja mempertahankan warisan, tetapi memastikan warisan itu memberi manfaat praktikal kepada masyarakat,” jelasnya.

Pelancaran Koperasi CSWK Maju Berhad turut menjadi sorotan utama majlis, yang memperkenalkan produk kecantikan dan kesihatan berasaskan air dan bunga iaitu simbol kehidupan dan keindahan dalam budaya Melayu.

Che Azizan turut mengucapkan tahniah dan mengakui peranan koperasi dalam menawarkan peluang ekonomi kepada ahli dan masyarakat.

“Air dan bunga ialah simbol kehidupan. Jika digabungkan, ia bukan sahaja menghasilkan produk, tetapi mencipta manfaat kepada ekonomi, kesihatan dan kehidupan masyarakat.”

Beliau yakin koperasi ini akan menjadi platform ekonomi yang progresif, mampan dan mampu menarik penyertaan komuniti secara lebih luas.

Majlis turut mengiktiraf tokoh berpengaruh dalam dunia persilatan negara yang hadir sebagai tetamu terhormat, antaranya Presiden DSSM Malaysia, Roslim Abu

Dipuji atas kepimpinan beliau yang memartabatkan silat bukan hanya sebagai seni mempertahankan diri, tetapi sebagai medium membina jati diri dan sahsiah bangsa.

Pendekar Negara, Dato’ Sazali Salleh Dato’ Meor Abdul Rahman yang dihargai sebagai lambang pendekar sejati, tegas, berdisiplin dan sentiasa berkhidmat untuk masyarakat serta perkembangan silat tanah air.

Ini termasuk Presiden DKPM, Farez Akmal Abdul Aziz, yang diiktiraf atas usaha besar memperkukuh adat istiadat persilatan, memperluas jaringan organisasi dan mengangkat martabat DKPM ke tahap yang lebih tersusun dan dihormati dalam dunia persilatan nasional.

Dalam ucapannya, Che Azizan menekankan, bahawa majlis seumpama ini menjadi lambang perpaduan rakyat Malaysia, merentasi bangsa, agama dan latar budaya.

Beliau mengingatkan hadirin mengenai falsafah adat Melayu yang mendukung keamanan dan keharmonian dengan pujangga, “Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah; Budi dijunjung, maruah dijaga; Warisan dipelihara, bangsa terpelihara.”

Menurut beliau, semangat perpaduan inilah yang akan memastikan warisan persilatan dan budaya Melayu terus diraikan dan dihormati generasi akan datang.

Mengakhiri ucapan dengan gaya bersahaja, tetapi penuh makna, Che Azizan turut berkongsi beberapa pantun dan madah yang menekankan peri pentingnya kesatuan hati:

Bunga seroja berkembang mekar,
Harum mewangi di halaman istana;
Jika kita bersatu hati,
Bangsa terpelihara, negara makmur sentiasa.

Madah itu disambut dengan tepukan hadirin, melambangkan penghargaan terhadap nilai-nilai budaya yang terus dijaga dalam majlis tersebut.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis itu dan berharap ulang tahun ke-13 Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara DKPM, CSWK dan pertubuhan budaya, pembangunan ekonomi komuniti melalui koperasi, kesinambungan warisan Melayu serta pemerkasaan persilatan sebagai seni budaya bangsa.

Majlis malam itu bukan sahaja meraikan warisan, tetapi menyatukan masyarakat, memperkukuh jaringan dan membuka ruang lebih luas untuk masa depan yang makmur dan berbudaya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *