Oleh: Manzaidi Mohd Amin

DARI Nilam Puri ke Pahang, suatu perjalanan jauh sebuah impian Universiti al-Quran. Itulah yang tergetus dari hati penulis apabila mendapat tahu cadangan penubuhannya bakal menjadi kenyataan.
Sebenarnya, ada kisah dalam hidup penulis, walaupun sudah lama berlalu. Ia tetap hidup, membayang-bayangi hati penulis setiap kali topiknya disentuh. Begitulah kisah Universiti al-Quran ini dalam hidup penulis, sebuah impian yang pernah penulis saksikan tumbuh, kemudian layu sebelum sempat berkembang dan kini kembali mekar, tetapi di tanah yang berbeza.
Masih segar dalam ingatan penulis saat panggilan itu datang – suara Prof. Madya Mohd Noor Deris, yang ketika itu Pensyarah Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan.
Kisah ini berlaku sekitar akhir tahun 90-an dan awal tahun 2000. Beliau meminta penulis hadir untuk berbicara mengenai sesuatu yang katanya “besar”. Nada suaranya penuh keterujaan seperti seseorang yang memegang rahsia besar dan tidak sabar untuk meluahkannya.
Pada hari yang ditetapkan, tepat jam 11 pagi, penulis sudah berada di pejabat beliau di Nilam Puri. Penulis tidak menjangkakan sama sekali pertemuan itu akan menjadi salah satu titik sejarah penting dalam pemikiran penulis mengenai pendidikan al-Quran di negara ini.
Ketika itu, Prof. Madya Mohd Noor bercakap sangat panjang dan sangat terperinci. Ada sesuatu pada caranya. Penuh minat, penuh percaya diri, penuh harapan.
Beliau bukan sekadar menyampaikan cadangan akademik; beliau sedang melahirkan sebuah cita-cita yang digenggam oleh seorang sarjana yang melihat potensi al-Quran jauh melangkaui tikar mengaji dan halaqah tradisional.
Beliau mahu sebuah Universiti al-Quran, sebuah institusi yang benar-benar menjadikan al-Quran bukan sekadar subjek, tetapi nadi seluruh disiplin ilmu. Tempat melahirkan generasi yang bukan hanya menghafal, bukan hanya memahami tafsir, tetapi menjadikan wahyu sebagai kerangka pemikiran dan pemandu kehidupan.
Dan beliau mahu ia bermula di Kelantan, negeri yang selama ini sinonim dengan tradisi agama dan tarbiah, sesuai dengan gelarannya Serambi Mekah.
Temu bual pada hari itu akhirnya tersiar dalam akhbar Berita Harian sekitar akhir 90-an atau awal tahun 2000 (Penulis sudah lupa, tetapi boleh rujuk Arkib BH).
Ketika laporan itu terbit, penulis yakin sudah berada di ambang sesuatu yang besar. Di dada penulis waktu itu, ada rasa bangga, rasa percaya. Penulis seperti sedang menunggu kelahiran sebuah institusi yang akan mengubah wajah pendidikan Islam negara.

Namun hidup, seperti biasa, tidak selalu setia kepada impian yang murni. Apabila Mohd Noor yang merupakan bekas anggota Dewan Ulamak Pas dilihat semakin cenderung kepada pemikiran politik UMNO, yang pada waktu itu jelas bertembung dengan pemerintah negeri Kelantan, sekali gus menyaksikan impian itu mula digoncang.
Beliau ditukarkan, dan dengan itu, cadangan penubuhan Universiti al-Quran di Kelantan terkulai sebelum sempat bertunas sepenuhnya.
Penulis menyaksikan sendiri bagaimana politik mampu memadamkan api visi, walaupun visinya lahir daripada niat yang sangat luhur. Penulis tidak pernah lupa rasa hampa itu, rasa melihat peluang besar Malaysia hilang begitu sahaja.
Namun, hari ini, selepas lebih dua dekad berlalu, khabar mengenai Universiti al-Quran datang semula kepada Penulis, tetapi kali ini dari arah yang tidak penulis jangka, iaitu kerajaan negeri Pahang.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membawa cadangan yang hampir sama seperti yang pernah penulis dengar dahulu, tetapi kini dengan nafas baharu dan sandaran lebih kukuh.
Beliau mahu menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta membina aspirasi menjadikan negeri itu sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam.
UnIPSAS – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, akan diberi wajah baharu, identiti baharu dan visi baharu sebagai Universiti al-Quran.
Apa yang pernah menjadi impian di Kelantan, kini menjadi kenyataan di Pahang.
Apabila penulis membaca kenyataan itu, penulis terdiam lama. Ada sebak yang sukar penulis gambarkan. Bukan kerana kecewa impian itu tidak berkembang di tempat asalnya, tetapi kerana gembira melihat ia hidup kembali selepas perjalanan panjang penuh liku.
Lebih menggembirakan, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM20 juta sebagai geran pengurusan dan pembangunan untuk memastikan transformasi ini berlaku secara tersusun dan efektif.
Ia bukan sekadar pengumuman di podium; ia keputusan yang dibuktikan dengan angka dan tindakan. Tambahan pula, peningkatan peruntukan sebanyak 66.7 peratus berbanding tahun sebelumnya menunjukkan kesungguhan yang tidak boleh disangkal.
Dalam rangka lebih luas untuk menyuburkan kefahaman fiqh, identiti kenegaraan serta nilai Hubbul Watan, kerajaan turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi Program Pemerkasaan Fiqh Al-Watan.
Ini langkah penting, kerana universiti bukan hanya menghasilkan ulama dan sarjana, tetapi menghasilkan warganegara yang memahami agama dalam konteks negara, bukan sekadar dalam ruang kitab.
Apabila penulis melihat usaha ini, penulis kembali teringat saat-saat di Nilam Puri dahulu. Penulis teringat wajah Mohd Noor, teringat semangatnya, teringat keyakinannya. Beliau mungkin tidak sempat melihat impian itu berkembang di tanah asalnya, tetapi legasi pemikirannya tetap hidup.
Penulis belajar sesuatu daripada perjalanan panjang ini. Impian yang baik tidak pernah mati. Ia sekadar berpindah tangan, berpindah negeri atau menunggu masa yang lebih sesuai untuk tumbuh.
Dan mungkin, memang begitulah takdir Universiti al-Quran ini. Ia tidak berkembang di Kelantan seperti yang kami impikan dahulu; ia memilih bumi Pahang sebagai tempat ia mahu bertapak. Apa pun alasannya, penulis bersyukur ia akhirnya menemui ruang untuk menjadi realiti.
Penulis berharap, Universiti al-Quran yang bakal dibangunkan ini bukan sekadar simbol baharu, bukan sekadar nama yang memancing perhatian, tetapi menjadi sebuah gedung ilmu yang benar-benar mengangkat al-Quran sebagai pusat peradaban moden. Kita sudah lama mengimpikannya, dan kita kini hampir mencapainya.
Semoga visi ini membuahkan kejayaan, dan semoga suatu hari nanti, apabila kita melihat generasi baharu sarjana al-Quran lahir dari universiti ini, yang berilmu, berakhlak dan berpandukan wahyu, kita boleh berkata dalam hati:
“Ya, inilah impian yang pernah saya lihat dulu… dan hari ini ia telah menjadi nyata.” – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
