KOLUM: Pelancongan Berasaskan Islam di Malaysia Tarik Perhatian Antarabangsa

Oleh: Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan

KEJAYAAN Malaysia membangunkan sektor pelancongan berasaskan nilai Islam terus mendapat perhatian antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama pelancongan Islam di rantau ini.

Dengan gabungan kemudahan mesra Muslim, infrastruktur moden, warisan budaya yang kaya serta dasar kerajaan yang proaktif, negara ini berjaya menawarkan pengalaman pelancongan yang patuh syariah, selamat dan inklusif kepada pengunjung dari seluruh dunia.

Dalam usaha membantu mengembangkan sektor tersebut, penulis berkesempatan berkongsi ilmu dan kajian dalam satu persidangan antarabangsa, iaitu “International Conference on Islamic Tourism and Economic Sustainability 2025” yang berlangsung di Maldives pada Oktober lalu.  

Pelancongan dan komuniti Orang Asli

Penulis membentangkan kertas kerja bertajuk “Fostering Socio-Economic and Islamic Tourism in the Digital Era: A Community-Based Tourism (CBT) Case from Malaysia’s Stingless Bee Initiative,” yang mengetengahkan kisah kejayaan komuniti Orang Asli di Labu, Negeri Sembilan.

Inisiatif yang diusahakan oleh penulis berjaya membangunkan produk pelancongan berasaskan madu kelulut dengan bimbingan universiti dan agensi tempatan, sekali gus membuktikan bahawa pelancongan Islam mampu menjadi pemangkin sosioekonomi tanpa mengorbankan identiti budaya dan nilai keagamaan.

Idea ini menarik perhatian pemain industri pelancongan Maldives yang melihatnya sebagai contoh berkesan dalam menggabungkan nilai Islam dengan pembangunan komuniti.

Kalangan peserta persidangan turut menyatakan minat untuk meneroka kerjasama strategik dan mengadaptasi pendekatan tersebut bagi memperkukuh potensi pelancongan Islam di negara mereka.

Tambah menarik kerana persidangan berprestij itu turut dihadiri Minister of State for Tourism, Maldives, Dr. Abdulla Niyaz, para pemain industri pelancongan Islam serantau, ahli akademik dan pembuat dasar yang membincangkan hala tuju pelancongan mampan serta etika dalam konteks dunia Islam moden.

Beberapa ahli akademik dari Malaysia khsusnya dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membentangkan hasil penyelidikan dan amalan terbaik berkaitan pelancongan Islam serta pembangunan komuniti.

Ketua Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM, Dr. Izwan Harith Md. Ithnan, membentangkan kertas kerja bertajuk “Fostering Harmony and Socio-Economic Sustainability Through Tourism Based on the Ta’aruf and Ta’awun Concepts.

Manakala Dr. Nur Hidayah Abd. Rahman (USIM) mengetengahkan kajian bertajuk “Beyond Sightseeing: How Multisensory Experiences Strengthen Malaysia’s Heritage Brand.”

Kehadiran beberapa ahli akademik Malaysia di pentas antarabangsa membantu memperkukuh imej negara sebagai peneraju pelancongan Islam dan pusat ilmu yang aktif membina wacana tentang pembangunan mampan berasaskan nilai Islam.

Tahun Melawat Malaysia 2026

Persidangan tersebut amat signifikan dan tepat pada masanya apabila Malaysia sedang giat membuat persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang membawa tema “Malaysia: Truly Inspiring, Truly Islamic.”

Tema tersebut memperkukuh aspirasi kerajaan untuk menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja menawarkan keindahan dan hospitaliti, tetapi juga mencerminkan nilai kerohanian, kesejahteraan komuniti serta kelestarian alam sekitar.

Dengan kejayaan model pelancongan Islam dan pelancongan komuniti yang semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa, Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk menjadi hab pelancongan Islam global yang mampu mengimbangi kemajuan ekonomi dengan keutuhan nilai dan moral.

Keterlibatan pemain industri pelancongan Maldives serta pengiktirafan oleh Dr Abdulla Niyaz terhadap pendekatan Malaysia menjadi bukti bahawa pelancongan berasaskan Islam bukan sahaja sesuai dengan tuntutan semasa, tetapi relevan dalam membentuk kesejahteraan sejagat.

Malaysia terus menjadi contoh kepada dunia bahawa pembangunan pelancongan yang berpaksikan maqasid syariah mampu menjana kemakmuran ekonomi sambil memelihara nilai moral, memperkukuh komuniti dan menyuburkan keharmonian global.

Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan ialah Pensyarah Kanan, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *