SEPANG – Sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki empat individu dihanyutkan arus deras berhampiran Klinik Desa Giching lewat malam semalam, menyebabkan seorang hilang dikhuatiri lemas, manakala tiga yang lain berjaya menyelamatkan diri.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.30 malam dan susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dikerah ke lokasi dengan bantuan BBP Sepang.
Komander Operasi, PBK I Muhammad Abdullah berkata, ketika insiden berlaku, semua empat mangsa berada dalam kereta sebelum dihanyutkan banjir.
Tiga daripada mereka berjaya keluar dan menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dipercayai hilang selepas cuba berenang menyeberang arus.
“Pasukan kami sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa yang hilang,” jelasnya.
Operasi melibatkan 10 anggota, sebuah jentera FRT serta kenderaan pacuan empat roda Hilux dan setakat laporan terakhir, mangsa belum ditemukan dengan usaha pencarian giat diteruskan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001