Faisal Halim Sahkan Cerai Dua Kali, Mahkamah Tetapkan Talak

KLANG – Kemelut rumah tangga pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mencapai titik pengakhiran apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, mengesahkan dua lafaz cerai yang dibuat atlet itu pada 11 Jun dan 10 November lalu sebagai sah, sekali gus memutuskan talak terhadap isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

Pengesahan itu dibuat oleh Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab. Rahim selepas mendengar keterangan pihak terlibat.

Peguam syarie yang mewakili Faisal, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff memaklumkan, mahkamah menerima kedua-dua lafaz tersebut sebagai memenuhi syarat sah cerai.

Menurut beliau, lafaz pertama berlaku lima bulan lalu, namun pasangan itu sempat rujuk kembali pada hari yang sama.

Bagi lafaz kedua, mahkamah menetapkan, Nur Syazwani perlu menjalani tempoh idah selama tiga kali suci seperti ditetapkan syarak.

“Kita akan bawa perkara berkaitan lain termasuk isu hadanah ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk direkodkan,” katanya.

Dalam prosiding tersebut, Faisal turut dibantu peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Nur Syazwani diwakili Roshdan Sujak Rafie.

Sebelum ini, pada 2 September lalu, Nur Syazwani memfailkan permohonan perceraian secara baik di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Namun, hanya 10 hari kemudian, kedua-duanya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan memilih memberi peluang kedua kepada rumah tangga mereka yang telah berusia enam tahun.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *