Prinsip Keadilan Tidak Boleh Dipengaruhi – MCW

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyuarakan kebimbangan serius terhadap jurang besar dalam keputusan pampasan dua kes kehilangan paksa yang menggemparkan negara, melibatkan aktivis sosial, Amri Che Mat dan pendakwah, Pastor Raymond Koh, yang menurut badan itu menimbulkan persoalan mendalam mengenai prinsip keadilan dan kesaksamaan undang-undang di Malaysia.

Menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, kedua-dua kes telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dengan dapatan bahawa pihak keselamatan negara gagal melindungi mangsa daripada kehilangan paksa.

Namun katanya, perbezaan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga mangsa begitu amat ketara sekali.

Keluarga Amri menerima pampasan sekitar RM3.26 juta, manakala keluarga Pastor Koh memperoleh pampasan melebihi RM37 juta termasuk bayaran berterusan.

Jurang hampir dua belas kali ganda ini, kata Jais, menimbulkan persoalan terhadap konsistensi sistem kehakiman negara dalam menegakkan prinsip keadilan yang saksama untuk semua.

“Prinsip keadilan tidak boleh dipengaruhi oleh agama, latar belakang atau status seseorang. Nilai nyawa rakyat tidak boleh diukur berdasarkan siapa mereka atau sejauh mana perhatian media diberikan kepada kes tersebut,” tegas beliau.

MCW berpendapat, keputusan mahkamah secara jelas menunjukkan kelemahan dalam tadbir urus keselamatan serta mekanisme akauntabiliti negara yang perlu diperbaiki segera.

Pengesahan mahkamah bahawa pihak keselamatan gagal melindungi rakyat menuntut tindakan pembetulan yang menyeluruh, bukan sekadar pampasan berbentuk kewangan.

Menurut Jais, jurang pampasan seperti itu bukan sahaja mencabar kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman, malah boleh memberi kesan langsung terhadap reputasi antarabangsa.

“Kegagalan menangani isu penghilangan paksa secara adil akan menjejaskan kedudukan negara di mata dunia dan menggugat keyakinan pelabur terhadap kestabilan sistem keadilan Malaysia,” katanya.

MCW turut menegaskan, keadilan mesti dilihat dan dirasai oleh semua, bukan sekadar wujud dalam teks undang-undang.

“Sekiranya jurang sebegini dibiarkan tanpa pembetulan, ia memberi gambaran bahawa nilai nyawa rakyat boleh berubah mengikut identiti atau kepercayaan, sesuatu yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, MCW menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan semakan terhadap kadar pampasan kepada keluarga Amri supaya diselaraskan dengan kes Pastor Raymond Koh berasaskan prinsip keadilan yang setara.

“Selain itu, kita menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan mekanisme pencegahan kehilangan paksa serta menubuhkan sistem pemantauan bebas bagi memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh,” katanya.

Beliau juga menyeru Parlimen Malaysia menggubal garis panduan pampasan nasional bagi memastikan kes serupa di masa hadapan dinilai secara konsisten dan tidak menimbulkan jurang yang mencerminkan diskriminasi tersirat.

“Isu ini bukan soal agama atau kelompok, tetapi soal integriti negara dalam menjunjung ‘rule of law’. Sekiranya keadilan tidak diterapkan secara seimbang, maka negara sedang menghantar mesej bahawa nyawa rakyat boleh dinilai berdasarkan identiti.

“Itu bukan sahaja menyalahi Perlembagaan, malah mengkhianati asas keadilan yang menjadi tunjang pembinaan negara,” ujar Jais lagi.

MCW berpandangan, kes kehilangan paksa yang berlaku sejak beberapa tahun lalu perlu dijadikan pengajaran penting kepada semua agensi penguatkuasaan dan pembuat dasar.

Mekanisme pencegahan dan perlindungan perlu diperkukuh, termasuk memastikan pegawai keselamatan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap tindakan yang melibatkan kebebasan dan keselamatan rakyat.

“Malaysia tidak boleh terus dilihat gagal melindungi rakyatnya sendiri. Keadilan yang tidak seimbang memberi isyarat bahawa sistem negara ini masih boleh dipengaruhi oleh faktor luar daripada undang-undang. Itu satu keadaan yang amat berbahaya,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *