Pengambilan Jururawat Warga Asing Bukan Penyelesaian Jangka Panjang – Dr. Abdul Halim

PUTRAJAYA – Pengambilan jururawat warga asing bukan langkah wajar bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan negara, sebaliknya hanya menjadi penyelesaian bersifat sementara.

Ahli Majlis Tertinggi Sekretariat Orang Melayu, Datuk Dr. Abdul Halim Sher Jung berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mencari pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk jangka panjang.

Katanya, mengambil jururawat warga asing hanya menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja, tetapi tidak menjamin mutu dan kualiti perkhidmatan dalam bidang kejururawatan yang kritikal ini.

“Keutamaan harus diberikan kepada jururawat graduan tempatan yang masih menunggu pelantikan tetap atau kontrak. Pada masa sama, jururawat yang sedang berkhidmat di hospital juga perlu diberikan peluang mempertingkatkan kemahiran melalui kursus lanjutan seperti post-basic dan program pembangunan profesional lain.

“Jururawat tempatan yang dilatih di kolej kejururawatan di Malaysia mempunyai kelebihan kerana mereka lebih memahami sistem serta persekitaran hospital tempatan, malah institusi latihan tempatan juga memenuhi semua piawaian yang ditetapkan oleh KKM.

“Langkah mengambil jururawat warga asing bukan sahaja berisiko menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan, tetapi boleh menambah kepada masalah lambakan warga asing serta berpotensi menimbulkan isu sosial,” katanya dalam kenyataan kepada Nasionaldaily di sini, hari ini.

Dr. Abdul Halim turut menegaskan, jururawat tempatan lebih memahami budaya, bahasa dan sensitiviti agama pesakit Malaysia, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan lebih berkesan dan berperikemanusiaan.

Beliau menyeru KKM tidak mengambil jalan mudah untuk menangani isu kekurangan jururawat dengan bergantung kepada tenaga kerja luar, sebaliknya mempercepatkan proses pelantikan jururawat tempatan dengan mengurangkan birokrasi sedia ada.

“KKM perlu sentiasa berbincang dengan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk meneliti semula isu beban kerja, kadar gaji, insentif dan kemudahan kerja agar sejajar dengan keperluan semasa,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *