Isu Pemansuhan UPSR Terus Didebat: Antara Suara Politik dan Asas KPM

Oleh: Rokaid Chik

ISU pemansuhan UPSR masih hanggat diperdebatkan netizen dengan pelbagai hujah pro dan kontra termasuk ahli politik.

Antaranya kritikan daripada Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang dilaporkan menegur langkah pemansuhan peperiksaan itu.

Dengan kata lain, beliau membidas pemansuhan UPSR, manakala Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad pula berkata, mengembalikan semula UPSR yang sudah dihapuskan akan melahirkan generasi burung kakak tua.

Perdebatan dan keluh kesah masyarakat berhubung perkara ini masih lagi berterusan dan berbelah bahagi, ada yang minta kerajaan khususnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengembalikan semula peperiksaan itu.

Ada beranggapan, langkah pemansuhan UPSR sebelum ini menyukarkan pihak berkaitan seperti MARA dalam pemilihan murid masuk ke tingkatan satu di MRSM.

Mengapa berkeluh kesah dan meragui langkah yang dibuat KPM memansuhkannya dan perlu dikembalikan semula?

Persoalannya mengapa begitu? Ini kerana keputusan tegas KPM itu sebenarnya mempunyai asas yang kuat.

Sekiranya pihak berkenaan menghadapi masalah dalam pemilihan murid ke sekolah premium seperti MRSM atau Sekolah Menengah (SM) Sains, mereka ada solusi lain yang boleh dilakukan.

Sekolah boleh mencalonkan nama murid cemerlang mereka dengan membentuk sebuah jawatankuasa bebas yang turut dianggotai biro akademik dan ada wakil bebas daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Tahukah, mengapa UPSR dihapuskan? Hanya golongan masyarakat dan pendidik yang sensitif serta prihatin dengan isu pendidikan sahaja tahu situasinya.

Sebenarnya peperiksaan UPSR mewujudkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara kepada murid dan lebih besar jurang keciciran.

Apabila UPSR menjadi alat pengukuran prestasi pelajar dan semua sekolah rendah mengejar ‘A’, ia akan mewujudkan sistem ‘streaming’ atau pengasingan murid mengikuti kelas PdP.

Murid akan diasingkan mengikut kelompok, kelas cemerlang, sederhana dan lemah seawal darjah tiga (Tahun Tiga) lagi.

Lazimnya, pihak pengurusan sekolah menugaskan guru cemerlang dalam tugas mengajar di kelas cemerlang dan sebaliknya.

Oleh yang demikian, murid yang ada potensi cemerlang sahaja diberikan perhatian lebih dengan latih tubi lebih kerap dan konsisten, manakala murid lemah kategori miskin sama ada bandar mahu pun luar bandar akan terpinggir serta tertinggal di belakang.

UPSR sebenarnya tidak bagus bagi murid kategori miskin dan anak-anak luar bandar.

UPSR hanya baik kerana tuntutan masyarakat khususnya ibu bapa golongan terpelajar dan elit kerana mereka lebih mampu menyediakan kelas tuisyen inklusif berbayar.

Golongan ini juga boleh mendapatkan pelbagai jenis buku latihan yang dijual di pasaran kerana mereka mampu berbanding golongan miskin.

Seharusnya golongsn elit tidak perlu risau dan cemburu kerana sudah menjadi dasar kerajaan sejak dahulu lagi, di mana sekolah premium seperti SM Sains dan MRSM itu untuk diberi lebih banyak peluang kepada golongan miskin serta luar bandar.

Sekiranya sangat perlu, golongan elit boleh sahaja memilih sekolah antarabangsa dan terus belajar mengambil peperiksaan sehingga A-Level dan ke universiti terpilih luar negara.

Namun, sekiranya tuntutan untuk golongan elit menghantar anak mereka ke MRSM atau SM Sains masih berterusan, kerajaan boleh mempertimbangkan dengan memilih dan menjadikan beberapa sekolah berkenaan di seluruh negara dengan syarat kemasukan secara berbayar. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *