Oleh: Ismail Daud

RANTAU PANJANG – Di kala dunia semakin maju dengan pelbagai bentuk hiburan digital, warga emas, Esah Yusoff, 79, masih setia mempertahan permainan tradisional congkak yang kian dilupakan generasi muda.
Setiap petang, Esah dilihat duduk di anjung rumah kayu pusakanya sambil mengisi guli ke dalam lubang congkak bagi memenuhi masa lapang ketika bersama menantu serta cucunya.
Menurutnya, congkak bukan sekadar permainan, tetapi sebahagian daripada warisan budaya Melayu yang sarat nilai kesabaran serta kemahiran berstrategi selain menajamkan fikiran.
“Saya main congkak sejak kecil lagi. Dulu, kami buat congkak di atas tanah yang digali lubang dan menggunakan buah gorek sebagai alat permainan.
“Apabila buah gorek sukar didapati, biji getah pula digunakan,” katanya sambil tersenyum mengenang zaman silam.
Namun, di sebalik semangatnya memelihara permainan tradisional itu, Esah mengakui rasa sedih apabila menantu dan cucu-cucunya tidak tahu bermain congkak. Mereka lebih gemar menghabiskan masa melayan permainan video serta media sosial di telefon pintar masing-masing.

Menurutnya lagi, permainan congkak mendidik seseorang berfikir, merancang, dan tidak mudah berputus asa selain mengekalkan warisan budaya yang melambangkan jati diri bangsa sejak turun temurun.
“Saya harap pihak sekolah dan masyarakat setempat dapat memperkenalkan semula permainan tradisional seperti congkak, gasing dan wau kepada generasi baharu dalam bentuk pertandingan atau pertunjukan yang diadakan di tempat terbuka,” katanya lagi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001