PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abul Matin hari ini, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana cuai hingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak autistik itu, lapor Berita Harian.
Hukuman diputuskan terhadap Ismanira Abdul Manaf selepas tertuduh didapati bersalah atas tuduhan pengabaian yang mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh, menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan pengurangan hukuman oleh pihak pembelaan serta hujahan faktor pemberat daripada pihak pendakwaan.
Mahkamah memerintahkan Ismanira, 30, memulakan hukuman penjara serta-merta hari ini, selain mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin.
Syahliza turut mengarahkan tertuduh melaksanakan 120 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan daripada penjara.
Permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi petang ini ditolak oleh hakim.
Syahliza berkata, tiada keadaan luar biasa yang boleh membenarkan penangguhan itu.
“Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah untuk membenarkan penangguhan. Alasan bahawa dia perlu menjaga seorang lagi anak autistik adalah urusan peribadi yang boleh diuruskan oleh keluarganya.
“Oleh itu, dia perlu dipenjarakan serta-merta,” katanya.
Selepas hukuman dijatuhkan, Haresh terus memohon penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan hujah bahawa terdapat keadaan khas yang wajar dipertimbangkan.
“Kami mohon budi bicara mahkamah kerana terdapat keadaan khas bagi menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.
“Jika mahkamah membenarkan penangguhan, jaminan boleh dinaikkan dan syarat tambahan boleh dikenakan.
“Tertuduh bukan berisiko melarikan diri kerana dia tidak memiliki pasport. Tiada prejudis terhadap pihak pendakwaan sekiranya penangguhan dibenarkan sementara menunggu keputusan rayuan.
“Sekiranya rayuan diterima kelak, dia akan mengalami tempoh pemenjaraan yang sia-sia,” katanya.
Haresh turut merayu mahkamah mengambil kira bahawa pelaku sebenar kematian Zayn Rayyan masih belum ditemui dan bahawa Ismanira mempunyai seorang lagi anak autistik yang kini dijaga oleh keluarga angkat di *Rembau, Negeri Sembilan, selepas diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Tanpa ibunya, kanak-kanak itu akan hilang arah, trauma dan tertekan. Dia sudah kehilangan abangnya, Zayn Rayyan dan kini tidak lagi dapat berjumpa ibunya seperti yang dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam sebelum ini.
“Ini akan menyebabkan trauma mendalam kerana dia amat menantikan masa 48 jam seminggu bersama ibunya.
“Sekiranya Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Yang Arif, dia tetap akan menjalani hukuman. Tetapi jika sebaliknya, masa yang dihabiskan dalam penjara akan menjadi sia-sia,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi membantah permohonan itu, dengan alasan tiada keadaan khas atau luar biasa yang membenarkan penangguhan hukuman.
Rayuan tidak boleh dijadikan alasan automatik untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
“Mahkamah perlu mempertimbangkan bahawa rayuan dibuat selepas tertuduh disabitkan kesalahan melalui perbicaraan penuh.
“Tiada prejudis terhadap haknya sekiranya penangguhan tidak dibenarkan, memandangkan rayuan di Mahkamah Tinggi masih belum didengar atau diputuskan,” katanya.
Terdahulu, Syahliza memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ismanira, atas tuduhan pengabaian yang mengakibatkan kecederaan fizikal kepada anaknya dua tahun lalu. – BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001