Akmal kritik Nga berkait teguran soalan media

PETALING JAYA – Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang didakwa mempersoalkan soalan pengamal media dalam sebuah majlis, Rabu lalu.

Menurutnya, Nga tidak seharusnya bersikap sedemikian memandangkan ketika menjadi pembangkang sebelum ini beliau turut mengeluarkan kenyataan sama terhadap kerajaan.

“Hari ni bila jadi menteri koyak dengan soalan wartawan dan siap ugut untuk dikenakan tindakan keatas wartawan pula,” katanya di Facebook.

Dalam program prapelancaran projek ‘I Lite U’, yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.

Nga menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Namun, pemimpin DAP itu kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan.

Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) membidas tindakan itu yang bukan sahaja tidak wajar, malah cubaan menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong pula berkata perbuatan Nga tidak wajar dan bercanggah dengan semangat Kerajaan Madani yang menekankan keterbukaan serta kebertanggungjawaban.

“Sebagai seorang pemimpin, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti.

“Wartawan menjalankan tanggungjawab profesional bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu berkepentingan awam, bukan untuk menyerang mana-mana pihak,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *