LONDON – Dalam dunia digital yang semakin dikuasai kecerdasan buatan (AI), sempadan antara realiti dan rekaan semakin kabur.
Minggu ini, fenomena itu terbukti apabila satu video rekaan stadium “di atas pencakar langit” di Arab Saudi tular di seluruh dunia.
Video berkenaan, yang kononnya memaparkan reka bentuk “Neom Sky Stadium” di Arab Saudi, meraih lebih 50 juta tontonan di media sosial serta liputan meluas daripada pelbagai agensi berita antarabangsa.
Rekaannya digambarkan sebagai stadium pertama di dunia yang dibina 1,000 kaki dari aras tanah dengan kapasiti 46,000 penonton dan bakal menjadi salah satu daripada 15 venue Piala Dunia 2034 di Timur Tengah – empat daripadanya sudah siap dibina.
Apabila Arab Saudi menjanjikan stadium “luar biasa” selepas dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia pada Disember lalu, ramai penyokong teruja apabila video yang dianggap “rekaan rasmi” itu mula beredar – seolah-olah membuktikan janji berkenaan.
Namun, video yang memukau itu langsung tidak dihasilkan oleh kerajaan Arab Saudi mahupun syarikat pemaju Neom.
Sebaliknya, ia direka dalam masa hanya dua minit oleh seorang lelaki British bernama Liam Hawes, 34 tahun, dari East Sussex – ketika dia sedang berbaring di atas katil sebelum tidur.
Hawes memuat naik video berkenaan ke halaman Facebook miliknya, “Hypora Ultraworks”, dan tidak menyangka ia akan tular sehingga ke seluruh dunia.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sejak akaun itu diwujudkan awal bulan ini, video-videonya yang berbentuk konsep seni bina futuristik sudah mencecah hampir 350 juta tontonan. Namun, dia mengakui tidak memperoleh sebarang pendapatan kerana kandungan berkenaan tidak boleh dimonetisasi di Facebook.
“Itu sesuatu yang gila. Dua minggu lalu saya bermain telefon sebelum tidur dan tiba-tiba terlintas idea itu. Saya hasilkan konsep berkenaan dan sebelum sedar, ia sudah tersebar ke seluruh dunia.
“Pada awalnya lebih 13,000 orang berkongsi, selepas itu memang tiada siapa dapat hentikan,” kata Liam kepada Daily Mail Sport pada Khamis. “
Liam mengakui dia sendiri terkejut apabila melihat pelbagai media antarabangsa menyiarkan video tersebut sebagai “projek rasmi Arab Saudi”.
“Saya lihat banyak laman berita dan akaun media sosial mendakwa ia adalah stadium rasmi Arab Saudi untuk Piala Dunia. Saya tergamam, sebab saya langsung tidak tahu apa-apa tentang projek mereka.
“Tidak lama kemudian, kawan-kawan dan ibu saya sendiri telefon bertanya, ‘Itu bukan video yang kamu reka?’ Memang tak masuk akal,” katanya.
Menceritakan proses pembikinan, Liam menjelaskan: “Saya ada syarikat media kecil dan fikir sudah tiba masa saya belajar tentang AI. Jadi saya guna perisian reka bentuk imej.
“Sambil berbaring di katil, saya terfikir idea stadium di atas pencakar langit. Ia ambil masa dua atau tiga minit saja, kosnya cuma lebih kurang 35p (RM1.94), dan saya buat semuanya di telefon.”
Klip ringkas itu kini menjadi simbol bagaimana teknologi AI mampu mengaburkan batas antara imaginasi dan realiti – malah memperdaya berjuta penonton termasuk media arus perdana. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
