Persiapan bermula, pertingkat bantuan kemanusiaan memasuki Gaza

KAHERAH – Persiapan giat dijalankan bagi meningkatkan penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza yang musnah akibat perang, di bawah perjanjian gencatan senjata baharu yang diharap akan menandakan berakhirnya perang dua tahun antara Israel dan Hamas.

Badan pertahanan Israel yang menguruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza, COGAT, berkata jumlah lori bantuan yang memasuki wilayah Palestin dijangka meningkat kepada sekitar 600 sehari seperti ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

Mesir pula mengesahkan 400 lori bantuan dihantar ke Gaza mulai semalam.

Semua lori itu perlu diperiksa oleh tentera Israel sebelum dibenarkan masuk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan 170,000 tan metrik makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan lain sedia untuk dihantar sebaik sahaja Israel memberikan kebenaran.

Rakaman video menunjukkan puluhan lori menyeberangi bahagian Mesir di lintasan Rafah.

Menurut Bulan Sabit Merah Mesir, lori membawa bahan bekalan antaranya perubatan, khemah, selimut, makanan dan bahan api.

Lori-lori itu akan menuju ke kawasan pemeriksaan di lintasan Kerem Shalom untuk diperiksa oleh tentera Israel.

Peningkatan serangan Israel serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan telah mencetuskan krisis kebuluran, termasuk kebuluran di beberapa bahagian wilayah berkenaan.

Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Abeer Etifa, berkata pekerja bantuan sedang membersihkan jalan di dalam Gaza semalam bagi memudahkan penghantaran bantuan.

Nasib Gaza Humanitarian Foundation (GHF) — kontraktor yang disokong oleh Israel dan AS bagi menggantikan operasi bantuan PBB sejak Mei lalu — masih tidak menentu.

Tapak pengedaran makanan yang dikendalikan GHF di Rafah dan Gaza Tengah telah dibongkar susulan perjanjian gencatan senjata, menurut beberapa penduduk Palestin semalam.

Israel dan AS sebelum ini menyifatkan GHF sebagai sistem alternatif bagi mengelakkan Hamas daripada menguasai bantuan.

Namun, operasinya kucar-kacir dan ratusan rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel ketika menuju ke empat tapak agihan berkenaan.

Tentera Israel mendakwa, mereka melepaskan tembakan amaran untuk mengawal orang ramai.

Wakil GHF dalam satu kenyataan berkata mungkin akan berlaku “perubahan taktikal dalam operasi dan penutupan sementara beberapa lokasi pengedaran” semasa proses pemindahan tebusan ke Israel, tetapi menegaskan bahawa “rancangan jangka panjang kami tidak berubah.”

Penduduk Palestin mula bergerak pulang ke kawasan yang ditinggalkan tentera Israel walaupun ramai mendapati rumah mereka telah musnah.

Imej satelit menunjukkan deretan kenderaan menuju ke utara Gaza City, dengan gambar pada Sabtu memperlihatkan aliran kenderaan di Jalan Al Rashid, laluan utama di sepanjang pantai Mediterranean.

Turut kelihatan khemah-khemah di tepi pantai berhampiran marina Gaza City, tempat ramai penduduk berlindung bagi mengelak daripada serangan udara Israel.

Penduduk melaporkan, polis bersenjata dari Kementerian Dalam Negeri Hamas dilihat meronda di Gaza City dan Gaza Selatan, mengiringi lori-lori bantuan yang melalui kawasan di mana tentera Israel telah berundur.

Perang ini telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan mengusir hampir 90 peratus daripada dua juta penduduknya. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *