Legenda Seni Jalil Hamid Pergi Buat Selamanya

KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tanah air hari ini diselubungi rasa pilu apabila pelakon dan seniman veteran, Jalil Hamid dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Berita pemergian figura berusia 69 tahun itu disahkan sendiri oleh anaknya, Afiqah Jalil menerusi perkongsian di Instagram, yang turut memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang selepas tertidur usai menunaikan solat Subuh.

Menurut perkongsian tersebut, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya di bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia di kediaman mereka.

Jenazah dijangka disolatkan di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya selepas solat Asar hari ini.

Allahyarham yang sebelum ini dilaporkan mempunyai sejarah masalah jantung dan menjalani rawatan berkala, dikenang sebagai antara figura penting industri seni yang aktif lebih empat dekad dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Sepanjang kariernya, beliau membintangi pelbagai karya yang meninggalkan impak mendalam kepada penonton, termasuk filem Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam. Dalam dunia drama pula, lakonannya dalam Cucu Atuk, Beca Usang dan Ayahanda terus terpahat dalam ingatan peminat.

Bukan sekadar pelakon, Allahyarham turut mencuri perhatian menerusi lagu berunsur satira berjudul Ayam yang popular sekitar awal 1990-an, membuktikan versatiliti beliau dalam dunia seni.

Pemergian tokoh seni ini turut dirasai oleh rakan industri. Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah menyifatkan kehilangan tersebut sebagai satu tamparan besar buat dunia hiburan tanah air.

Menurutnya, Allahyarham bukan sahaja seorang penghibur, malah mentor yang tidak lokek berkongsi ilmu serta sering menjadi rujukan generasi baharu dalam bidang lakonan dan nyanyian.

“Segala jasa, gelak tawa dan sumbangan beliau akan terus hidup dalam ingatan kami dan seluruh peminat seni. Pemergian ini meninggalkan kekosongan yang sukar diisi,” katanya.

Tambah beliau, pihak Persatuan Seniman Malaysia turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan Allahyarham sepanjang bersama persatuan itu, serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Pemergian Jalil Hamid pastinya meninggalkan kesan mendalam, namun legasi seni yang ditinggalkan akan terus dikenang sepanjang zaman.

Top of Form

Bottom of Form

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *