MAIS Kecam Penyebaran Imej Aibkan Sultan Selangor, Gesa Tindakan Tegas Diambil

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan penyebaran visual yang didakwa mengaibkan Sultan Sharafuddin Idris Shah, susulan satu hantaran di media sosial yang memaparkan suntingan imej baginda dalam keadaan tidak sopan.

Dalam satu kenyataan, MAIS menyifatkan perbuatan tersebut sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab, yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook menggunakan nama “Lucas Liam”.

Pada masa sama, MAIS turut menyelar satu lagi insiden terdahulu melibatkan penyuntingan serta penyebaran imej serupa yang dikaitkan dengan akaun “Huayan The Pure Learning Centre”.

Menurut MAIS, tindakan tersebut dipercayai dilakukan dengan sengaja bagi melukakan perasaan umat Islam, khususnya di Selangor, memandangkan kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri.

Kandungan visual berkenaan juga didakwa mengaitkan baginda dengan unsur yang bercanggah dengan hukum syarak serta melampaui norma masyarakat tempatan.

“Perbuatan ini bukan sahaja tidak menghormati institusi diraja, malah menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MAIS menggesa agar pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

MAIS turut menegaskan, sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi beraja tidak boleh dipandang ringan, memandangkan Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan negara.

Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, institusi beraja memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Pengerusi MAIS, Salehuddin Saidin berkata, pihaknya kekal komited mempertahankan kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini, selain menyeru orang ramai agar bersama-sama memelihara kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut mengingatkan, tindakan tidak bertanggungjawab di media sosial boleh memberi kesan besar terhadap keharmonian negara dan perlu ditangani secara serius oleh semua pihak.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *