Pembebasan Tebusan: Hamas mahu 7 tokoh terkenal Palestin dibebaskan

BAITULMAQDIS – Israel mengisytiharkan kemenangan dalam peperangan dengan Hamas apabila kumpulan pejuang itu bersiap sedia untuk membebaskan baki tebusan yang masih hidup.

Ia satu langkah penting dalam pelan keamanan Gaza anjuran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beberapa jam sebelum beliau mempengerusikan sidang kemuncak keamanan di Mesir.

Di bawah pelan damai dicadangkan Trump, sebaik sahaja tebusan diserahkan, Israel akan mula membebaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran.

Namun, pada lewat malam tadi, rundingan masih berlarutan apabila dua sumber Hamas memberitahu AFP bahawa kumpulan itu menuntut Israel memasukkan tujuh pemimpin kanan Palestin dalam senarai yang akan dibebaskan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap yakin dengan menyatakan: “Ini adalah malam yang penuh emosi, malam air mata dan kegembiraan, kerana esok anak-anak kita akan pulang ke sempadan kita,” katanya sambil memetik ayat kitab agamanya.

“Kita telah mencapai kemenangan besar yang mengagumkan seluruh dunia… tetapi saya harus katakan, perjuangan ini belum berakhir.”

Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, turut mengisytiharkan kemenangan.

“Tekanan ketenteraan yang kami kenakan sejak dua tahun lalu, bersama langkah diplomatik yang melengkapinya, membentuk kemenangan terhadap Hamas,” katanya.

Jurucakap pejabat Netanyahu, Shosh Bedrosian, berkata pembebasan tebusan dijangka bermula awal hari ini dengan Israel “menjangka kesemua 20 tebusan yang masih hidup akan dibebaskan serentak.”

Namun seorang pegawai kanan tentera Israel memberi amaran: “Malangnya, kami menjangka tidak semua tebusan yang telah terkorban akan dikembalikan esok.”

Bedrosian turut memaklumkan bahawa sebuah badan antarabangsa akan ditubuhkan untuk mengesan mayat tebusan yang tidak dikembalikan dalam pertukaran itu.

Trump dijadual tiba di Israel sejurus selepas pembebasan dijangka berlaku, sebelum berucap di Parlimen Israel (Knesset) dan seterusnya ke Mesir bagi mempengerusikan sidang kemuncak pemimpin dunia di Sharm el-Sheikh, bagi menyokong pelannya menamatkan perang Gaza yang telah berlarutan selama dua tahun dan memupuk keamanan di Asia Barat.

Bedrosian berkata, banduan Palestin hanya akan dibebaskan selepas Israel mengesahkan semua tebusan telah selamat menyeberang masuk ke wilayah Israel.

Sementara itu, dua sumber Hamas memberitahu AFP bahawa kumpulan itu berkeras mahu tujuh tokoh terkenal Palestin dibebaskan — sekurang-kurangnya seorang daripadanya pernah ditolak oleh Israel sebelum ini.

Sumber itu berkata kumpulan tersebut dan sekutunya “telah menyiapkan semua persiapan” untuk menyerahkan semua tebusan yang masih hidup.

Menurut pelan itu, Hamas akan membebaskan baki 47 tebusan — hidup dan mati — yang diculik pada 7 Oktober 2023, ketika serangan rentas sempadan yang menyebabkan 1,219 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sekali gus mencetuskan kempen ketenteraan besar-besaran Israel di Gaza.

Hamas juga dijangka menyerahkan mayat seorang askar Israel yang terbunuh pada tahun 2014 semasa perang Gaza terdahulu.

Dalam kalangan banduan Palestin yang akan dibebaskan, 250 adalah tahanan keselamatan, termasuk ramai yang disabitkan membunuh warga Israel, manakala 1,700 lagi ditahan oleh tentera Israel di Gaza sepanjang perang.

Selepas lawatannya ke Israel, Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan mempengerusikan sidang kemuncak pemimpin dari lebih 20 negara di Sharm el-Sheikh, di Laut Merah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengesahkan kehadirannya, begitu juga Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Raja Abdullah dari Jordan dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Pegawai dari kedua-dua pihak mengesahkan tiada wakil Israel mahupun Hamas akan hadir.

Pada hari ketiga gencatan senjata, beberapa trak bantuan berjaya memasuki Gaza, namun penduduk di Khan Yunis berkata sebahagian penghantaran dirampas oleh penduduk kelaparan dalam suasana huru-hara yang menyaksikan bekalan makanan dipijak.

Bagi Mahmud al-Muzain, seorang penduduk tempatan, insiden itu menunjukkan rakyat Gaza tidak percaya rundingan yang diterajui AS akan membawa kepada keamanan jangka panjang.

“Semua orang takut perang akan kembali,” katanya kepada AFP.

“Kami menyimpan makanan kerana takut dan bimbang perang akan meletus semula.”

Di bawah pelan Trump, apabila Israel melakukan pengunduran separa dari Gaza, kawasan itu akan digantikan oleh pasukan pelbagai negara yang diselaraskan oleh pusat arahan diketuai AS di Israel.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67,806 orang, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang ditadbir Hamas, angka yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

Data itu tidak membezakan antara orang awam dan pejuang, tetapi menunjukkan lebih separuh daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *