Dua gol Kimmich pacu Jerman benam Luxembourg

SINSHEIM, Jerman – Joshua Kimmich meledak dua gol ketika Jerman melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Luxembourg yang bermain dengan 10 orang pada aksi kelayakan Piala Dunia di Sinsheim, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann akhirnya mempamerkan ketenangan dan keyakinan selepas sebelum ini tewas di Slovakia dan sekadar menang tipis ke atas Ireland Utara di laman sendiri.

Ketua pasukan Kimmich menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum menambah jaringan dari jarak dekat sejurus separuh masa kedua bermula.

David Raum membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-12, sementara Serge Gnabry meledak gol ketiga seawal babak kedua untuk memastikan kemenangan penting buat Jerman.

Nagelsmann memuji semangat juang anak buahnya, menyifatkan kemenangan itu hasil permainan “agresif dan kerakusan” pasukannya.

“Kami mungkin boleh menjaringkan satu atau dua gol lagi, tetapi kemenangan ini memang layak, kemenangan yang kami mahu dan perlukan,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Jerman kini mendahului Kumpulan A selepas Ireland Utara menumpaskan Slovakia 2-0 di Belfast. Seterusnya, Jerman akan berkunjung ke Belfast pada Isnin.

Sebelum ini, prestasi hambar mereka di Bratislava pada September – kekalahan pertama kepada Slovakia dalam sejarah – menimbulkan kebimbangan kebangkitan di Euro 2024 hanya sementara.

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 dan 2022, serta di pusingan 16 terbaik Euro 2020, Jerman kembali menyerlah di Euro 2024 apabila mara ke suku akhir sebelum tunduk kepada juara, Sepanyol selepas masa tambahan.

Tanpa tonggak utama seperti Jamal Musiala, Kai Havertz dan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen yang cedera, Nagelsmann menurunkan barisan kuat dengan Kimmich beraksi semula di benteng pertahanan.

Pemain baru Newcastle, Nick Woltemade hampir meraikan gol sulung antarabangsa seawal minit keempat apabila menolak masuk hantaran Gnabry, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Raum membuka jaringan dengan sepakan percuma bergaya dan keadaan bertambah sukar buat Luxembourg apabila Dirk Carlson dibuang padang serta menghadiahkan penalti yang disempurnakan Kimmich.

Jerman mensia-siakan beberapa peluang sebelum rehat, tetapi menambah derita pelawat selepas babak kedua bermula – Gnabry meledak dari luar kotak penalti sebelum Kimmich melengkapkan kemenangan mudah dengan tampanan dari jarak dekat.

Selain meraih tiga mata berharga untuk terus mengungguli kumpulan, Jerman juga mencatatkan rekod bersih tanpa bolos pertama musim ini. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *