BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret, di sini, menetapkan 10 November depan bagi sebutan semula kes Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial yang menimbulkan kegentaran dan keselamatan awam.
Harian Metro melaporkan, Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan tarikh itu pada prosiding yang disebut di hadapannya hari ini bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan kepada mahkamah.
Terdahulu, Akmal tiba di perkarangan mahkamah jam 8.30 pagi bersama pasukan peguamnya yang diketuai Datuk Mohd Imran Tamrin
Pihak pendakwaan pada prosiding itu pula dibarisi Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Nazran Mohd Sham, Lee Jung Keong dan Nor Shakila Dahari.
Pada 22 Ogos lalu, Akmal, 37, didakwa memuat naik kenyataan di akaun Facebook ‘Akmal Saleh’ jam 3 petang pada 11 Ogos lalu yang dilihat serta didengar seorang lelaki di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Precint 1 @ Sunway Wellesley di sini.
Dalam video itu, Akmal didakwa menuntut Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan ke atas individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam tempoh dua hari dan sekiranya tiada pendakwaan beliau turun mengajar individu dirujuknya sebagai ‘apek’ cara memasang bendera dengan betul.
Kenyataan itu boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Bagi kesalahan itu, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan menjalankan tugas Exco di Melaka terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Harian Metro pada 14 Ogos lalu melaporkan Akmal mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas, dekat sini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001