Balai Seni Negara dibuka di Ipoh

IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal membuka Balai Seni Negara cawangan ketiga di sini, selepas Kuala Lumpur dan Langkawi di Kedah, dengan menawarkan pameran imersif terbesar di negara ini.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata cawangan baharu itu akan beroperasi di bangunan ikonik Pejabat Pos Lama Ipoh pada tahun hadapan dan dijangka menjadi hab seni kontemporari yang memberikan manfaat kepada komuniti penggiat seni.

“Dari segi pelancongan, semestinya ia akan memberikan impak yang bagus, positif dan pelancong-pelancong akan lebih ramai lagi datang ke sini untuk melihat koleksi-koleksi di Balai Seni.

“Pada masa hadapan juga kita akan menaik taraf lagi Balai Seni ini dan melaksanakan pameran imersif di sini, antara galeri imersif yang terbesar di Malaysia sebab kita ada (pameran berkenaan) di ibu pejabat, tetapi kecil berbanding di Ipoh yang bakal kita laksanakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Ipoh Suka Langka di sini, malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad.

Pameran imersif menggabungkan kecanggihan teknologi kecerdasan buatan, teknologi pemetaan dan realiti terimbuh.

Balai Seni Cawangan Ipoh itu bakal mempamerkan seni visual yang membabitkan pendigitalan dengan dua ruang utama pameran akan dilengkapi karya-karya agung seniman dari Malaysia dan Asia Tenggara, manakala ruang bawah akan dijadikan sebagai pameran imersif.

Shaharuddin berkata, pihaknya juga akan mengetengahkan produk-produk pelancongan dan seni yang mempamerkan tempat bersejarah, khususnya di Perak, di Balai Seni Negara supaya dapat menarik minat pelancong berkunjung ke negeri itu.

“Terdapat banyak tempat bersejarah di Perak yang menarik untuk dilawati, terutamanya dari aspek kesenian dan warisan. Oleh itu, kami akan menyediakan satu laluan pelancongan (trail) khas untuk memudahkan pelancong yang datang ke Ipoh melawat lokasi-lokasi menarik ini,” katanya. BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

13. nasional

Peguam 4 pelajar dakwa Mohd Shafie eksploitasi kes Zara Qairina demi kepentingan politik

PETALING JAYA – Peguam mewakili empat pelajar dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengecam Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa cuba mengekspoiltasi kes itu demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Mereka berkata, tindakan Mohd Shafie melabelkan kes itu sebagai ‘pembunuhan’ serta mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik adalah tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan dan penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.

“Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami. Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang PRN akan datang.

“Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukannya di pentas politik. Ahli politik mempunyai kewajipan untuk menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan sentimen demi kelebihan pilihan raya,” kata mereka dalam kenyataan malam tadi yang dilaporkan FMT.

Peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan mewakili pelajar B, C, D dan E yang berdepan pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina serta dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina.

Mohd Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues dalam klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial.

Barisan peguam itu berkata, tindakan Mohd Shafie itu tidak wajar dan jelas merendahkan martabat serta kewibawaan seorang pemimpin.

“Kenyataan pramatang dan tidak bertanggungjawab bukan sahaja melemahkan prinsip bahawa setiap orang yang dituduh hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah, tetapi juga menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina sedang berduka.

“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukannya diputar belit dalam ucapan politik atau di media sosial.”

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *