Jangan Susahkan Rakyat: Pembaharuan MyKad Bukan Syarat Layak Petrol Bersubsidi RON95

PUTRAJAYA – Kerajaan Madani digesa tidak menetapkan sebarang arahan atau syarat kepada rakyat demi menggelakkan mereka panik untuk memperbaharui Mykad bagi tujuan menikmati subsidi petrol RON95.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menegaskan, syarat itu sangat serius dan disifatkan sebagai satu langkah yang tidak wajar, selain membeban dan tidak mesra rakyat.

“Merujuk kepada cadangan atau pelaksanaan syarat oleh kerajaan Madani yang meminta rakyat memperbaharui MyKad bagi melayakkan mereka menikmati subsidi petrol RON95.

“Saya menggesa kerajaan tidak menetapkan sebarang arahan atau syarat kepada rakyat demi mengelakkan daripada rakyat panik untuk membaharui MyKad bagi tujuan itu.

“Setiap dasar atau mekanisme baharu mestilah berlandaskan prinsip kemudahan rakyat, kecekapan sistem dan keadilan sosial,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup, adalah tidak adil untuk menambah beban mereka dengan syarat tambahan seperti pembaharuan MyKad.

Katanya, syarat itu menyebabkan rakyat terpaksa berdepan dengan masalah, antaranya yang bekerja perlu mengambil cuti, menunggu lama di pejabat Pendaftaran Negara di negeri masing-masing dan mungkin menanggung kos pembaharuan yang tidak perlu.

“Ini sangat menyulitkan terutama golongan B40, warga emas dan yang tinggal di luar bandar.

“Padahal kerajaan boleh saja menggunakan data sedia ada dari sistem bantuan tunai (STR, BPR, dll) atau pangkalan data agensi lain untuk menyalurkan subsidi tanpa menyusahkan rakyat.

“Penggunaan kad pengenalan atau nombor telefon yang dipautkan ke aplikasi mudah alih atau e-dompet juga boleh menjadi mekanisme pengesahan subsidi dan inilah teknologi yang wajar dimanfaatkan oleh kerajaan, iaitu memudahkan, bukan membebankan,” ujar beliau.

Beliau menyokong ketelusan dan penyaluran subsidi yang bersasar, tetapi pelaksanaannya mestilah adil, praktikal dan mengambil kira realiti hidup rakyat biasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *