Bapa Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian Anak

SEREMBAN – Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua anaknya dalam kejadian di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas, Port Dickson pada 4 September lalu.

Abdul Rahman Mahmud, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menyebabkan kematian dua anaknya, masing-masing berusia enam dan lapan tahun, dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh mengakibatkan kematian pada jam 11.45 pagi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M. Pusppa tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu serius. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu sambil menangis agar diberikan jaminan kerana mahu menziarahi kubur anak-anaknya.

Mahkamah menolak permohonan jaminan dan menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Rahman dan seorang wanita berusia 41 tahun direman berhubung kematian dua beradik berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan itu lemas selepas kereta mereka menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas Linggi.

Abdul Rahman terselamat kerana berada di luar kenderaan ketika kejadian, manakala wanita yang turut berada dalam kereta itu berjaya diselamatkan orang awam.

Jenazah dua beradik itu diuruskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, Port Dickson, pada 9 September lalu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *