KUALA LUMPUR – PEOPLElogy Bhd, syarikat pembangunan insan bersepadu tersenarai awam pertama di Malaysia, berjaya menganjurkan acara sulung CxO Synergy: Build A Future Team (BAFT) di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Program itu menghimpunkan pemimpin perniagaan, pendidikan, agensi kerajaan dan sektor impak sosial bagi membincangkan strategi membentuk tenaga kerja digital masa depan, merapatkan jurang kemahiran, serta memperkukuh agenda kemampanan sosial negara.
PEOPLElogy menyasarkan memberi impak kepada sejuta nyawa melalui program peningkatan kemahiran, pensijilan digital dan penempatan pekerjaan khususnya untuk belia dan profesional pertengahan kerjaya.
Melalui platform BAFT, syarikat itu turut menyasarkan mengumpul RM100 juta dalam bentuk pembiayaan, sokongan dan penyertaan korporat dalam tempoh 36 bulan.
Pengasas dan Pengarah Urusan PEOPLElogy, Allen Lee berkata CxO Synergy menjadi bukti bahawa kerjasama erat antara perniagaan, institusi kemahiran dan organisasi impak mampu mengubah landskap tenaga kerja negara.

“Bina Pasukan Masa Hadapan bukan sekadar rangka kerja, tetapi gerakan untuk menyatukan pemimpin, memimpin dengan impak dan mengubah tenaga kerja digital masa depan,” katanya.
Pengarah Urusan dan Peneraju Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo pula menegaskan usaha memperkasakan generasi baharu dengan kemahiran digital dan insaniah adalah penting bagi membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan inklusif.
Beliau berkata, kerjasama strategik pelbagai pihak amat penting untuk melahirkan tenaga kerja celik digital, mahir kecerdasan buatan (AI) dan menitikberatkan amalan ESG, sekali gus mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital serantau.
Acara itu turut membincangkan cabaran semasa tenaga kerja termasuk kekurangan bakat, kos jika tidak mengadaptasi AI, serta keperluan mendesak untuk melatih semula rakyat Malaysia agar kekal berdaya saing.
Ia juga menekankan peluang pekerjaan digital inklusif untuk wanita, belia luar bandar dan siswazah menganggur, agar manfaat pembangunan dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
Dengan sokongan rakan kongsi perniagaan, kemahiran dan impak, BAFT muncul sebagai inisiatif inovatif untuk memperkukuh tenaga kerja digital, memacu kemampanan sosial dan melahirkan bakat Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001