KUALA LUMPUR – Pengeluar pracampuran minuman segera, Orgabio Holdings Bhd. (Orgabio) merekodkan keuntungan kasar sebanyak RM4.6 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (S4 TK2025), meningkat 30.04 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan ini disokong oleh volum jualan yang lebih tinggi, hasil daripada permintaan kukuh dari pasaran domestik dan luar negara.
Hasil Kumpulan bagi suku semasa turut melonjak 63.62 peratus tahun ke tahun kepada RM34.2 juta.
Bagaimanapun, Syarikat menyatakan margin keuntungan kasar menyederhana kepada 13.56 peratus disebabkan oleh peningkatan kos bahan mentah, buruh serta kos overhed susulan permulaan operasi di kilang baharunya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku dikaji meningkat 14.85 peratus kepada RM1.63 juta.
Bagi prestasi setahun penuh berakhir 30 Jun 2025 (TK2025), Orgabio mencatatkan hasil sebanyak RM111.1 juta, pertumbuhan kukuh sebanyak 49.79 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai tahunan pula meningkat 16.89 peratus kepada RM6.60 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Orgabio, Ean Yong Hien Voon berkata, TK2025 merupakan tahun yang transformatif bagi Syarikat, disokong oleh pertumbuhan teguh dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Dengan kilang baharu yang mula beroperasi pada April 2025 dan pensijilan Halal yang diperoleh pada Mei 2025, kami berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan kapasiti, mempelbagaikan portfolio dan mengukuhkan kehadiran kami di pasaran,” katanya.
Orgabio kekal optimistik terhadap prospek industri, memandangkan pasaran minuman segera global dan Malaysia diunjurkan terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001