Semua resolusi AGM DC Healthcare diluluskan

Untung kasar suku kedua DC Healthcare melonjak dua kali ganda

KUALA LUMPUR – DC Healthcare Holdings Bhd (DC Healthcare) terus mengekalkan momentum pertumbuhannya apabila mencatat hasil RM20.60 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, meningkat 48 peratus berbanding RM13.88 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan ini banyak disumbangkan oleh permintaan kukuh terhadap perkhidmatan estetik, yang meraih RM17.80 juta atau 86 peratus daripada jumlah hasil, melonjak 53 peratus berbanding RM11.65 juta pada tahun lalu.

Seiring dengan itu, keuntungan kasar Kumpulan turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM10.45 juta daripada RM5.19 juta sebelum ini.

DC Healthcare berjaya mengurangkan kerugian sebelum cukai kepada RM1.03 juta, jauh lebih rendah berbanding kerugian RM6.71 juta pada suku sama tahun lalu.

Secara keseluruhan, bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, hasil Kumpulan meningkat 65 peratus kepada RM38.50 juta manakala keuntungan kasar melonjak kepada RM19.57 juta.

Kerugian sebelum cukai juga menyusut ketara kepada RM1.87 juta daripada RM14.62 juta pada separuh pertama tahun kewangan lalu.

Pengarah Urusannya, Dr Chong Tze Sheng berkata, prestasi itu membuktikan daya tahan model perniagaan syarikat, dipacu oleh permintaan berterusan terhadap rawatan estetik serta pengurusan operasi yang berkesan.

Katanya, walaupun syarikat menanggung kos pelupusan peralatan perubatan sekali sahaja pada suku ini, asas perniagaan kekal kukuh dengan pertumbuhan hasil yang mampan.

Melangkah ke hadapan, DC Healthcare menegaskan fokusnya pada strategi pengembangan termasuk penyatuan jenama teras seperti Klinik Dr. Chong, Dr. Chong Slimming dan NewB Premium Skincare, selain memperkukuh produk penjagaan kulit.

Syarikat juga merancang untuk mempertingkat pengalaman pesakit dengan teknologi analisis kulit berasaskan kecerdasan buatan serta pelan rawatan peribadi.

Langkah meningkatkan kecekapan operasi turut diperhebat melalui pelaksanaan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi memperkemas kawalan inventori, peruntukan sumber dan keputusan berasaskan data.

Di samping itu, cadangan pengambilalihan lot kedai tiga tingkat di Bandar Kinrara, Puchong bernilai RM8 juta dijangka menyumbang kepada pengurangan kos operasi jangka panjang dan menyokong pertumbuhan rangkaian klinik.

Dengan langkah strategik ini, DC Healthcare optimis dapat memanfaatkan pertumbuhan pasaran estetik dan kesihatan di Malaysia, seterusnya menjana nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *