Dari Meja Editorial
SETIAP kali menjelang 31 Ogos, seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh semangat dan bangga.
Laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, menjadi simbol kebebasan daripada belenggu penjajahan.
Namun begitu, kita perlu sedar bahawa merdeka bukan sekadar laungan kosong yang diulang saban tahun, sebaliknya ia menuntut penghayatan yang mendalam serta tindakan yang mencerminkan semangat kemerdekaan sebenar dalam kehidupan seharian.
Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukan datang bergolek. Ia adalah hasil perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi melihat tanah air bebas daripada penjajahan.
Justeru, kita perlu menghargai sejarah dan pengorbanan mereka. Menghayati kisah perjuangan tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut dan Mat Kilau boleh menyemai semangat patriotik dalam diri, bukan sekadar melaungkan “Merdeka” tanpa memahami maknanya.
Tanpa pengorbanan mereka, kita mungkin masih dijajah. Oleh itu, rakyat yang melupakan sejarah ibarat “kacang lupakan kulit”, lupa asal usul dan tidak tahu menghargai nikmat kemerdekaan.
Merdeka juga membawa erti bahawa rakyat perlu memainkan peranan dalam menjaga kedaulatan negara. Ini termasuk mematuhi undang-undang, menolak rasuah, mengekalkan perpaduan antara kaum dan bertindak sebagai rakyat yang berdisiplin.
Jika rakyat leka dan cuai, kemerdekaan boleh tergadai. Bak peribahasa, “api dalam sekam”, ancaman terhadap negara kadangkala datang secara halus dan tersembunyi serta rakyat yang alpa boleh menjadi punca perpecahan.
Seseorang yang benar-benar menghayati kemerdekaan tidak akan mengkhianati negara dengan perbuatan yang merosakkan keamanan dan kestabilan.
Kemerdekaan bukan hanya kebebasan secara fizikal, tetapi juga kemerdekaan minda. Rakyat Malaysia perlu berfikir secara matang, kritis dan terbuka dalam membuat keputusan dan menilai isu.
Kita harus membebaskan diri daripada pemikiran sempit, sikap malas dan terlalu bergantung pada bantuan kerajaan, sebaliknya kita digalakkan untuk berusaha gigih, menuntut ilmu dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Kemerdekaan sejati terletak pada amalan seharian kita. Nilai-nilai seperti hormat-menghormati, toleransi, integriti dan kasih sayang sesama rakyat adalah asas kepada sebuah negara merdeka yang aman dan makmur.
Jika laungan “Merdeka” hanya tinggal slogan tanpa pengamalan nilai-nilai ini, maka roh kemerdekaan itu akan pudar.
Kesimpulannya, merdeka bukan sekadar laungan retorik yang dilaungkan setahun sekali. Ia adalah amanah yang perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia.
Kita harus membuktikan bahawa kita benar-benar merdeka melalui tindakan, pemikiran dan sikap kita. Hanya dengan cara ini, semangat kemerdekaan akan terus hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Sesungguhnya, kemerdekaan yang sebenar bermula dari dalam hati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Ia menuntut penghayatan, kesedaran sejarah serta tindakan yang mencerminkan semangat sebenar dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, kemerdekaan mesti dipelihara bersama oleh semua lapisan masyarakat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001